
LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia 30-an maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Puyut, di sini, Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh seorang pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.
“Pasukan mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung dan tali selepas pihak Sabah Electricity Sdn Bhd memotong bekalan elektrik di kawasan itu.
“Operasi ditamatkan pada jam 1.36 tengah hari dan mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumsoa berkata mangsa dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tidak dikenali oleh penduduk kampung terbabit.
Dalam kejadian lain, seorang lagi lelaki berusia lingkungan 40-an mengalami kecederaan melecur dalam satu kebakaran melibatkan sebuah rumah di Jalan Hilir.
Jabatan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran itu pada jam 10.32 pagi. Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah rumah musnah 90 peratus akibat kebakaran.
Mangsa, yang juga penyewa rumah, mengalami kecederaan melecur dan telah pun dibawa ke hospital oleh orang awam. Dokumen pengenalannya turut musnah dalam kebakaran itu.
“Kebakaran dikawal pada jam 12.09 tengah hari dan operasi tamat pada jam 12.20 tengah hari setelah pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” tambahnya.



![[VIDEO] ‘Apahal sujud sahwi atas jalan raya ni’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/ampang-tular-viral-1024x768.jpeg)


