
JAKARTA – Seorang wanita di wilayah Lampung, Indonesia menangis teresak-esak selepas buaya peliharaannya selama tiga tahun terpaksa dipindahkan kerana mencetuskan kebimbangan penduduk tempatan, lapor laman berita Lambe Turah.
Operasi pemindahan itu dilakukan di Jalan Teluk Ambong Gang Rajawali, Pidada, baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @warta.pontianak menunjukkan pemilik buaya dikenali sebagai Wike, 40, tidak dapat menahan sebak dan pengsan ketika menyaksikan haiwan tersebut dibawa keluar dari rumahnya.
Buaya bernama Coki sepanjang 2.5 meter itu dipindahkan oleh anggota bomba selepas kehadirannya mula menimbulkan keresahan warga setempat.
Selain saiz Coki yang semakin membesar, buaya itu mula berkeliaran di kawasan sekitar sekali gus membahayakan keselamatan Wike dan orang lain.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Lampung berjaya menangkap Coki dalam masa antara 10 hingga 15 minit.
Coki kemudian diserahkan kepada Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP) untuk rawatan lanjut sebelum dibawa ke pusat pembiakan di Ogan Ilir, wilayah Sumatera Selatan. – AGENSI
The post Wanita menangis buaya kesayangan pindah appeared first on Kosmo Online.






