
PETALING JAYA: Seorang wanita warga Myanmar yang dipercayai menjadi ejen haram dan mempunyai kaitan dengan suspek utama dalam Op Crack diberkas Jabatan Imigresen di Bandar Mahkota Cheras, kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan itu dilakukan susulan maklumat diperoleh selepas operasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Crack pada Selasa lalu.
Katanya, penahanan itu dilakukan selepas pasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen di ibu pejabat Putrajaya menyerbu sebuah kediaman.
Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai ada kaitan dengan seorang lelaki warga Myanmar disyaki dalang utama dalam kes dan Op Crack.
“Turut ditahan ialah seorang lelaki serta enam lagi wanita warga Myanmar dipercayai sedang menunggu untuk dibekalkan kepada majikan.
“Kesemua mereka yang ditahan itu berumur antara 29 hingga 56 tahun. Jumlah keseluruhan ditahan ialah lapan orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, hasil semakan awal mendapati suspek wanita terbabit memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam sektor perkhidmatan.
Beliau berkata, empat wanita warga Myanmar yang lain itu pula didapati tinggal lebih masa manakala seorang lelaki dan dua lagi wanita warga negara itu tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah untuk berada di negara ini.
“Suspek wanita warga Myanmar ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
“Empat wanita warga Myanmar ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Manakala, seorang lelaki dan dua wanita warga Myanmar ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Zakaria berkata, kesemua mereka yang ditahan itu kemudian dibawa ke pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Pasukan operasi juga menyita 16 naskhah pasport Myanmar, salinan PLKS yang dipercayai palsu, dan dokumen berkaitan pembekalan pekerja.
“Turut disita ialah sebuah kenderaan jenis Toyota Yaris dipercayai digunakan oleh sindiket untuk kegiatan itu.
“Modus operandi sindiket itu dipercayai bertindak sebagai ‘ejen haram’ dengan menawarkan perkhidmatan mendapatkan PLKS dipercayai dikeluarkan secara tidak sah melalui sistem pengurusan pekerja asing JIM yang telah diceroboh,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, sindiket itu dipercayai menyasarkan warga asing di sekitar Lembah Klang yang tidak mempunyai pas sah atau telah tamat tempoh tinggal, dengan menawarkan perkhidmatan mendapatkan PLKS.
Katanya, sindiket itu turut dipercayai membekalkan pekerja asing kepada majikan yang memerlukan tenaga kerja, dengan mengenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap pekerja dan beroperasi sejak awal tahun.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengesan rangkaian sindiket terbabit serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang negara. – UTUSAN
The post Wanita Myanmar jadi ejen haram Op Crack diberkas appeared first on Utusan Malaysia.






