Wanita OKU ditemukan mati berlumuran darah

23 Sep 2026 • 8:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wanita OKU ditemukan mati berlumuran darah

KUALA KANGSAR: Penduduk Kampung Cheh Kati dekat sini gempar apabila seorang ibu berstatus orang kurang upaya (OKU) ditemukan mati berlumuran darah di dalam rumahnya yang turut dihuni bersama tiga anaknya yang juga OKU.

Mangsa, Nor Ainon Omar, 49, merupakan OKU kategori lembam, tinggal di rumah itu bersama suami, Rosli Jalaluddin, 44, dan tiga anak mereka berusia 18, 15 dan 13 tahun.

Difahamkan kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang, apabila suami kepada mangsa memaklumkan jiran terdekat bahawa isterinya mengalami pendarahan.

Malah difahamkan lelaki itu juga berkongsikan gambar keadaan isterinya yang terbaring di dalam kumpulan Whatsapp keluarga adik-beradiknya bagi memaklumkan perkara tersebut.

Suliana Jalaluddin, 38, adik kepada Rosli terkejut apabila abangnya berkongsikan gambar keadaan mangsa yang terbaring dan berlumuran darah.

“Saya berada di Kuala Lumpur untuk mendaftarkan anak saya di universiti. Apabila dapat gambar itu saya sangat terkejut dan segera mendapatkan abang, namun tiada respons,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Cheh Hilir, Noor Halim Abd. Hamid merupakan antara individu terawal yang dimaklumkan tragedi tersebut dan beliau segera memaklumkan kepada pihak polis.

“Si suami memaklumkan saya bahawa isterinya mengadu dicucuk dengan benda tajam di bahagian kaki,” katanya.

Menurut penduduk kampung, sebaik sahaja kejadian itu berlaku mereka bersama suami mangsa cuba mengumpulkan kembali anak-anak wanita tersebut yang terkejut akibat kejadian itu.

Tinjauan lokasi mendapati penduduk kampung berada di rumah keluarga tersebut menantikan tindakan pihak polis.

Terdapat juga kesan darah yang menitis ke bawah rumah dipercayai akibat kecederaan yang dialami mangsa.

Keluarga tersebut amat dikenali oleh warga Kuala Kangsar kerana Rosli kerap menghias keretanya dengan Jalur Gemilang serta sering membawa anak-anaknya mengunjungi kawasan tumpuan di bandar ini. – UTUSAN

The post Wanita OKU ditemukan mati berlumuran darah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved