
KUALA KANGSAR – Kampung Cheh Kati, dekat sini gempar apabila seorang ibu berstatus orang kurang upaya (OKU) ditemukan mati berlumuran darah di dalam rumah yang turut dihuni bersama tiga anaknya yang juga OKU.
Mangsa, Nor Ainon Omar, 49, merupakan OKU kategori lembam, tinggal di rumah itu bersama suaminya yang berusia 44 tahun dan tiga anak mereka berusia 18, 15 dan 13 tahun.
Difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2 petang, apabila suami kepada mangsa memaklumkan jiran terdekat bahawa isterinya mengalami pendarahan akibat dicucuk.
Malah, difahamkan suami itu juga berkongsikan gambar keadaan isterinya yang terbaring di dalam kumpulan Whatsapp keluarga adik-beradiknya bagi memaklumkan perkara tersebut.
Adik kepada suami mangsa terkejut apabila abangnya berkongsikan gambar keadaan isterinya yang terbaring dan berlumuran darah.
“Saya berada di Kuala Lumpur untuk mendaftarkan anak saya di universiti. Apabila dapat gambar itu saya sangat terkejut dan segera mendapatkan abang, namun tiada respons,” katanya ditemui di tempat kejadian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Cheh Hilir, Noor Halim Abd. Hamid merupakan antara individu terawal yang dimaklumkan tragedi tersebut dan beliau segera memaklumkan kepada pihak polis.
“Si suami memaklumkan saya bahawa isterinya mengadu dicucuk dengan benda tajam di bahagian kaki,” katanya.
Menurut penduduk kampung, sebaik kejadian itu berlaku mereka bersama suami mangsa cuba mengumpulkan kembali anak-anak wanita tersebut yang terkejut akibat kejadian itu.
Tinjauan lokasi beberapa jam selepas kejadian memperlihatkan penduduk kampung mengerumuni rumah keluarga tersebut menantikan tindakan pihak polis.
Diperhatikan darah turut menitis ke bawah rumah mereka dipercayai akibat kecederaan yang dialami mangsa.
Keluarga tersebut amat dikenali oleh warga Kuala Kangsar kerana Rosli kerap menghias keretanya dengan bendera Malaysia serta sering membawa anak-anaknya mengunjungi kawasan tumpuan di bandar itu. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita OKU maut: Mangsa mengadu kaki dicucuk benda tajam appeared first on Kosmo Online.






