
PETALING JAYA: Seorang wanita cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 21, Blok 100, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.02 pagi itu, pihak polis menerima maklumat daripada petugas Pusat Kawalan dan Pemeriksaan (CCC) Kuala Lumpur menerusi komunikasi radio berhubung kejadian seorang individu terjatuh dari bangunan di kawasan Perumahan Pantai Permai.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati kejadian melibatkan seorang wanita warga India berusia 29 tahun.
Menurut beliau, beberapa barangan peribadi milik mangsa turut ditemukan ditinggalkan di tingkat berkenaan.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan dan kini ditempatkan di wad kecemasan.
“Keadaan mangsa dilaporkan stabil namun mengalami kecederaan patah kaki kiri dan tangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa bukan penghuni pangsapuri berkenaan dan dipercayai berasal dari Segambut, Kuala Lumpur.
Katanya, setakat ini pihak polis masih belum mengambil keterangan mana-mana saksi berhubung kejadian tersebut.
“Pihak polis juga sedang berusaha mengesan waris mangsa bagi membantu siasatan,” jelasnya. – UTUSAN
The post Wanita patah kaki terjatuh dari tingkat 21 PPR Seri Pantai appeared first on Utusan Malaysia.





