
Kota Kinabalu: Seorang wanita warga Taiwan yang sebelum ini dijatuhi hukuman atas kesalahan pakatan jahat berkaitan skim pelaburan tidak wujud, dipenjara lima bulan dan didenda RM12,000 atau enam bulan penjara kerana tinggal di negeri ini selepas pas lawatan sosialnya tamat tempoh.
Li Xuan Qi, 25, mengaku salah atas pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain.
Li didapati tinggal di negeri ini selepas dokumen perjalanannya tamat tempoh pada 14 Mei tahun ini di mana dia telah tinggal lebih masa selama tujuh hari.
Dia ditangkap pada 21 Mei tahun ini pada jam 10 malam di sebuah bilik hotel di Bandaran Berjaya.
Kesalahan tersebut di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) Akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 18 Ogos tahun ini Li pernah didenda selepas dia bersama 20 warga China mengaku bersalah atas kesalahan pakatan jahat berkaitan skim pelaburan tidak wujud.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Bryan Francis mengendalikan pendakwaan manakala peguam Nathaniel Wong dan Lim Chun Yuan mewakili Li.
Sementara itu seorang lelaki berumur 28 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM2,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda kerana melupuskan pemampat penyaman udara (AC compressor) curi bernilai RM800.
Majistret Farrah Fariza Wan Ghazali menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Raehan Jaya Abdullah yang mengaku bersalah melupuskan barangan curi itu pada jam 3.20 petang, 20 Oktober tahun ini di dalam semak tepi jalan berhadapan Pangsapuri Country Height, Jalan Kibabaig, Penampang.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh TPR Esther Cynthia Jebon.






