
JOHOR BAHRU – Tiga individu yang terlibat dalam kes penyebaran doktrin dan dakwaan palsu menerusi ajaran ‘Ratu Balqis’ masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.
Menurutnya, mahkamah turut menetapkan hukuman penjara selama lima bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
“Tertuduh pertama didakwa mengikut Seksyen 4 kerana menyebarkan doktrin palsu dan Seksyen 6(b) atas kesalahan membuat dakwaan palsu di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997.
“Dua lagi tertuduh pula masing-masing didakwa atas kesalahan bersubahat mengikut Seksyen 43(b) dan Seksyen 43(c) enakmen sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Fared berkata, keputusan mahkamah itu mencerminkan keseriusan kerajaan negeri dalam menangani penyelewengan akidah yang tidak boleh dipandang ringan.
Jelasnya, penyebaran doktrin dan dakwaan palsu, khususnya yang melibatkan kedudukan Rasulullah SAW serta pelaksanaan ibadah, berisiko mengelirukan umat Islam dan menjejaskan pegangan akidah masyarakat.
“Jabatan Agama Islam Negeri Johor akan terus memperkukuh usaha dakwah, pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
“Masyarakat juga dinasihatkan supaya berwaspada terhadap kandungan berunsur agama yang tersebar di media sosial serta memastikan kesahihan maklumat sebelum berkongsi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan ajaran yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah beraliran al-Asya‘irah dan al-Maturidiah.
Sehubungan itu, orang ramai diminta melaporkan kepada pihak berkuasa agama sekiranya mengesan sebarang aktiviti penyebaran ajaran yang meragukan bagi memelihara kesucian akidah umat Islam di negeri ini. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga individu kes Ratu Balqis dipenjara 12 bulan, denda RM5,000 appeared first on Kosmo Online.






