
PETALING JAYA – Seorang wanita teruja apabila pertama kali menerima ikan siakap dan udang sebagai cenderahati selepas menderma darah.
Menerusi perkongsian di aplikasi Thread, seorang wanita dikenali sebagai Intan berkata, barangan basah tersebut diterima ketika menderma darah di Pulau Pinang hari ini.
Perkongsian itu turut mencuri perhatian pengguna Thread yang turut meluahkan rasa teruja, selain berkongsi pengalaman masing-masing menerima pelbagai barangan selepas menderma darah.
“Saya derma darah dapat beras, mi segera, biskut macam-macam lah… baru berbaloi,” kata Chekfaz.
“Pernah dapat hamper dan botol masa derma darah, tak sangka sekarang dapat lagi best,” kata Larikemanatu.
Sementara itu, IzzaHatta pula berkongsi menerima sekotak besar bijirin yang dianggap sudah cukup menggembirakan, apatah lagi sekiranya mendapat ikan siakap dan udang.
“Kita dapat sekotak besar ‘cereal’ pun gembira, kalau dapat siakap dan udang memang lain macam,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Fsm.Syakira turut mengambil kesempatan menyeru orang ramai yang memenuhi syarat kesihatan mencukupi supaya menderma darah.
“Siapa yang sihat dan cukup Hb (hemoglobin), pergilah menderma darah. Ada banyak kelebihan kalau menderma darah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita teruja derma darah dapat siakap, udang appeared first on Kosmo Digital.


![Jadi Inspirasi Para Ibu, Ramai Teruja Wanita Berjaya Turun 25 Kg Berat Badan Demi Anak [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/wanita-turunkan-berat-badan-demi-anak_netizen_5.jpg?t=1786524982)



