
BANGKOK: Seorang wanita Thailand ditahan selepas menghantar mesej mengugut untuk melakukan serangan tembakan di sebuah tadika di Ratchaburi, menyebabkan pihak sekolah membatalkan hari sukan dan melaksanakan pembelajaran dari rumah.
Suspek menghantar mesej berkenaan dalam kumpulan LINE ibu bapa berkaitan penganjuran hari sukan sekolah yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Ogos, bertepatan dengan tempoh sambutan Festival Hantu Cina.
Dalam mesej itu, wanita berkenaan meminta pihak sekolah menangguhkan hari sukan kerana sibuk dengan sambutan festival berkenaan.
Bagaimanapun, dia mengugut akan hadir ke acara tersebut bukan untuk anaknya, sebaliknya bagi melakukan serangan tembakan rambang.
Ugutan itu mencetuskan panik dalam kalangan ibu bapa, guru dan kakitangan sekolah. Pihak sekolah kemudian mengubah kaedah pembelajaran dengan meminta pelajar belajar dari rumah sepanjang tiga hari berkenaan.
Polis Wilayah Ratchaburi bersama agensi berkaitan mengadakan mesyuarat bagi menetapkan langkah keselamatan dan mengesan wanita yang menghantar mesej itu.
Polis dari Balai Polis Mueang Ratchaburi turut ditempatkan di sekitar sekolah bagi memastikan keselamatan serta memberikan maklumat kepada ibu bapa.
Siasatan kemudian membawa polis kepada wanita berkenaan yang mengakui menghantar mesej ugutan itu kepada guru dalam kumpulan LINE.
Wanita itu berkata dia kecewa selepas pihak sekolah meminta setiap pelajar menghasilkan baju untuk hari sukan, sedangkan dia tidak dapat membantu anaknya menyiapkan baju berkenaan tepat pada masanya.
Dia mendakwa ugutan tersebut dihantar dengan tujuan supaya pihak sekolah menangguhkan hari sukan berkenaan.
Polis pada mulanya mendakwa wanita berkenaan atas dua pertuduhan.
Pertuduhan pertama ialah memasukkan maklumat palsu ke dalam sistem komputer sehingga menyebabkan kerugian kepada orang lain, menjejaskan keselamatan awam atau mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
Kesalahan itu membawa hukuman maksimum lima tahun penjara atau denda sehingga 100,000 baht (RM12,000), atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan kedua ialah menyebabkan orang lain berasa takut atau cemas menerusi ugutan, yang boleh dihukum penjara maksimum sebulan atau denda sehingga 10,000 baht (RM1,200), atau kedua-duanya.
Pihak sekolah sebelum ini sudah membuat persiapan untuk hari sukan termasuk aktiviti sukan, sorakan, perarakan serta pelbagai peranan yang perlu dimainkan pelajar.- AGENSI
The post Wanita ugut tembak sekolah anak demi gagalkan hari sukan appeared first on Utusan Malaysia.






