Wanita warga emas maut kemalangan

10 May 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Wanita warga emas maut kemalangan
Seorang wanita warga emas maut dalam kemalangan di Kilometer 17.7 Jalan Sibu-Selangau, Lebuh Raya Pan Borneo. Foto Bomba Sarawak

SIBU - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita warga emas maut manakala tujuh lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 17.7 Jalan Sibu-Selangau, Lebuh Raya Pan Borneo malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa, Yap Li Yun, 66, yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan SUV Perodua Aruz disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.49 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah digegaskan ke lokasi.

"Sebaik tiba, didapati seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri sedang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan, dua lagi penumpang cedera manakala pemandu tidak mengalami kecederaan. Kesemua mangsa berusia antara 56 hingga 76 tahun.

"Pemandu lelaki serta tiga penumpang wanita kenderaan pacuan empat roda pula tidak mengalami kecederaan," menurut jurucakap itu menerusi kenyataan pada Ahad.

Anggota bomba menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa selepas menstabilkan kenderaan yang terbalik mengiring dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat tamat pada jam 11.14 malam selepas kerja pembersihan selesai dijalankan. - Bernama