Waran tangkap Netanyahu: AS kenakan sekatan terhadap Presiden ICC

WorldPolitics
19 Aug 2026 • 3:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Waran tangkap Netanyahu: AS kenakan sekatan terhadap Presiden ICC

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas Presiden Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) serta seorang peguam perbicaraan kanan mahkamah berkenaan, menurut Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

Langkah tersebut merupakan tindakan terbaharu dalam siri tindakan pentadbiran Trump terhadap mahkamah yang berpangkalan di The Hague itu.

ICC ditubuhkan pada tahun 2002 oleh komuniti antarabangsa untuk mendakwa kes jenayah perang, genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan. AS bukan ahli kepada mahkamah berkenaan.

Rubio dalam satu kenyataan memaklumkan sekatan dikenakan ke atas hakim warga Jepun yang menyandang jawatan Presiden ICC, Tomoko Akane serta peguam perbicaraan kanan warga Senegal, Abdoulaye Seye di bawah perintah eksekutif Trump tahun lalu yang membenarkan sekatan ke atas badan kehakiman itu.

“Individu-individu ini terlibat secara langsung dalam usaha ICC untuk menyiasat, menangkap, menahan atau mendakwa pegawai yang kerajaannya tidak memberi kebenaran terhadap bidang kuasa ICC,” kata Rubio dipetik Reuters.

ICC mengecam keras tindakan tersebut dan menyatakan langkah AS itu menjejaskan kedaulatan undang-undang.

“Apabila badan kehakiman diancam semata-mata kerana menguatkuasakan undang-undang, sistem perundangan antarabangsa itu sendiri yang berada dalam bahaya,” tegas ICC.

Seye merupakan peguam perbicaraan kanan dalam pasukan pendakwaan yang memohon waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan beliau turut dicalonkan untuk pemilihan sebagai hakim ICC.

Tindakan AS ini sekali lagi mencetuskan pertikaian dengan sekutunya di Eropah.

Menteri Luar Belanda, Tom Berendsen, menerusi hantaran di platform X menyatakan Belanda selaku negara tuan rumah mahkamah berkenaan tidak bersetuju dengan sekatan terbaharu AS itu dan beliau telah menjemput Akane untuk membincangkan sokongan berterusan pihaknya.

“Mahkamah dan tribunal antarabangsa mestilah diberi kebebasan untuk menjalankan mandat mereka,” tulis Berendsen.

Pada Disember lalu, Akane pernah memberi amaran sekatan AS akan menjejaskan operasi mahkamah dengan pantas dalam semua situasi dan kes, sekali gus membahayakan kewujudannya.

Tahun lalu, AS mengenakan sekatan ke atas beberapa pegawai ICC, termasuk pendakwa raya dan hakim, berikutan waran tangkap ICC terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, serta siasatan terdahulu mengenai tentera AS di Afghanistan.

Sekatan berkenaan membekukan sebarang aset milik individu terbabit di AS dan secara tidak langsung menyekat akses mereka daripada sistem kewangan AS yang mana hampir kesemua bank beroperasi di peringkat antarabangsa mempunyai hubungan rapat dengannya.

The post Waran tangkap Netanyahu: AS kenakan sekatan terhadap Presiden ICC appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved