Warga asing ditahan bersama syabu lebih RM22,000

LocalPolitics
30 Oct 2025 • 3:47 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing berjaya ditahan selepas didapati memiliki syabu dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna DSP Jaafar Hakim berkata bertindak atas maklumat awam sepasukan anggota BSJN bersama anggota polis Pulau Bum Bum berjaya menangkap suspek yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah kira-kira jam 11.30 pagi di kawasan Kampungg Sri Jaya pada Selasa lepas.

Hasil pemeriksaan ke atas badan suspek pihak polis telah menjumpai satu beg silang warna hitam bertulis ‘New York, Los Angeles, Tokyo, London, Paris’.

Pemeriksaan lanjut menemukan satu bungkusan plastik hitam yang didalamnya mengandungi empat paket plastik cerah setiap satu berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Jumlah rampasan syabu adalah sebanyak 200.54 gram (anggaran berat kasar) yang bernilai RM 22,059.40. Kes disiasat dibawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup”, katanya dalam kenyataan media.

Sementara itu dalam kes berasingan di LAHAD DATU polis menahan dua lelaki dalam dua operasi berasingan di Jalan Reno Fajar pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata dalam operasi sekitar jam 1 petang polis menahan seorang lelaki tempatan di kawasan berkenaan.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 33 tahun itu menemui plastik lut sinar berisi bahan disyaki Syabu seberat 0.24 gram serta kerajang aluminium.

“Ujian saringan air kencing suspek didapati negatif. Namun semakan lanjut mendapati dia mempunyai beberapa rekod jenayah lampau melibatkan kes curi, pecah rumah, rompakan dan kesalahan dadah.

“Suspek juga sedang berada dalam tempoh parol,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Dzulbaharin seorang lagi suspek iaitu lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun turut ditahan pada hari sama sekitar jam 5 petang di kawasan sama.

Pemeriksaan ke atas suspek menemukan kotak rokok mengandungi plastik lut sinar berisi bahan disyaki syabu seberat 5.10 gram.

“Hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amfetamina dan Metamfetamina.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.