
PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggempur habis-habisan pemandu warga asing yang semakin bebas memandu secara haram menerusi operasi besar-besaran di seluruh negara dalam masa terdekat.
Tindakan tegas itu susulan peningkatan aduan mengenai warga asing yang memandu kenderaan milik rakyat tempatan tanpa lesen memandu, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain.
Mana-mana pemilik kenderaan yang menyewakan kenderaan mereka kepada pemandu warga asing yang tiada lesen memandu pula boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy
Fadly berkata, operasi itu akan dilaksanakan dengan skala besar susulan banyak aduan diterima berkaitan masalah tersebut.
Katanya, operasi itu bertujuan memberi mesej jelas kepada warga asing yang memandu secara haram supaya mematuhi peraturan jalan raya di negara ini.
“Kita mahu jaga keselamatan rakyat Malaysia dan siapa sahaja yang berada atas jalan raya. Mereka kena ikut peraturan, apa yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia, jadi dia kena ikut,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, kesalahan jalan raya membabitkan warga asing termasuk etnik Rohingya merekodkan peningkatan lebih 50.4 peratus di antara 2024 hingga 2026.
Data itu direkodkan berdasarkan rekod Ops Pemandu Warga Asing (PeWA) yang mendedahkan lebih 34,155 kesalahan melibatkan mereka dilaporkan sepanjang tempoh itu.
“Dalam tempoh itu, 103,670 kenderaan warga asing diperiksa dengan 17,966 kenderaan diambil tindakan membabitkan 5,867 pada 2024 sebelum meningkat kepada 8,825 pada 2025.
“Setakat ini, sebanyak 3,274 kenderaan warga asing termasuk Rohingya pula telah diambil tindakan setakat September 2026,” katanya.
Menurutnya, JPJ juga telah mengambil tindakan terhadap 2,586 pemandu Rohingya melibatkan 1,691 pada 2024, 633 (2025) dan 262 (2026).
Jelasnya, antara kesalahan dikesan melibatkan golongan itu termasuklah memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL), tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) selain tiada perlindungan insurans dan kesalahan berkaitan pelesenan.
“Jadi, angka ini menunjukkan isu pemanduan dalam kalangan warga asing akan terus berada dalam radar penguatkuasaan JPJ dan tidak dipandang ringan,” katanya.
Sementara itu, Aedy berkata, pihaknya mengesan taktik rakyat tempatan yang menyewakan kenderaan mereka dengan kadar serendah RM100 sebulan kepada warga asing.
Katanya, hasil penguatkuasaan mendapati rakyat tempatan juga menjadi dalang membekalkan, menjual atau menyewakan kenderaan kepada warga asing termasuk Rohingya khususnya di Kelantan.
“Punca kepada masalah ini ialah apabila orang tempatan membuat sewaan kenderaan kepada warga asing. Dalam konteks ini, JPJ memang tidak benarkan lebih-lebih lagi jika mereka tiada dokumen sah.
“Dalam kes tertentu, terdapat kenderaan disewakan pada kadar serendah RM100 sebulan, malah turut disalahgunakan kenderaan (persendirian) dengan membawa barangan perniagaan atau perdagangan bagi menjalankan aktiviti tertentu termasuk memungut dan menjual besi buruk,” katanya.
Menurut Aedy, mana-mana rakyat tempatan disyaki berbuat demikian boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 berdasarkan peruntukan dibawah Subseksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan kerana penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM).
“Jadi, mana-mana warga tempatan yang membenarkan warga asing yang tidak memiliki dokumen sah menggunakan kenderaan mereka, kita akan sita semuanya selain dikenakan tindakan saman serta kompaun.
“Selepas ini, mana-mana pemilik kenderaan yang berbuat demikian tidak akan lagi diberi muka oleh JPJ. Kita akan pastikan setiap tindakan undang-undang diambil secara tegas,” ujar beliau.
Katanya, data Ops PeWA merekodkan sebanyak 2,335 kes membenarkan individu tanpa CDL, 185 kes membenarkan pemandu tanpa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan 274 kes membenarkan pemandu tanpa Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL).
“Pemilik rakyat tempatan jangan mengambil mudah atau cuba melepaskan tanggungjawab. Jika mereka menjadi pihak yang membolehkan pelanggaran undang-undang berlaku, mereka juga perlu berdepan tindakan,” ujarnya.
The post JPJ buru pemandu warga asing haram appeared first on Kosmo Online.





