Warga Asing Pukul Isteri, Maki Pemandu Grab, Orang Ramai Gesa Polis Bertindak

28 May 2026 • 1:42 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Warga Asing Pukul Isteri, Maki Pemandu Grab, Orang Ramai Gesa Polis Bertindak

KUALA LUMPUR - Orang ramai menggesa pihak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap seorang lelaki dipercayai warga asing, yang memukul isterinya serta memarahi seorang pemandu e-hailing dengan kata-kata kesat. 

Video insiden tersebut kini turut  tular di media sosial.

Menerusi rakaman berdurasi dua minit satu saat itu, kejadian dipercayai bermula apabila lelaki terbabit menyerahkan wang RM50 kepada pemandu e-hailing bagi membayar tambang.

Bagaimanapun, pemandu tersebut  memaklumkan dia tidak mempunyai wang baki untuk dipulangkan.

Ketika isterinya dipercayai cuba bercakap dengan suaminya, warga asing itu bertindak memukul wanita berkenaan.

Lelaki terbabit turut dilihat sedang mendukung seorang bayi ketika kejadian berlaku.

Susulan insiden, pemandu e-hailing berkenaan meminta lelaki itu keluar dari kenderaan, namun dia bertindak menjerit dan memarahi pemandu terlibat dengan pelbagai kata-kata kesat sebelum akhirnya keluar dari kereta.

Di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa marah terhadap warga asing tersebut. 

Mereka turut mengecam tindakan lelaki itu yang sanggup memukul isterinya dan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera campur tangan serta mengambil tindakan sewajarnya. 

Rakaman kejadian tersebut boleh disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/reel/2007606506508111 - Getaran, 28 Mei 2026