Lelaki ditahan, 300 biji telur penyu dirampas di Tuaran

LocalEnvironment
11 Jun 2026 • 5:01 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lelaki ditahan, 300 biji telur penyu dirampas di Tuaran

Tuaran: Jabatan Hidupan Liar Sabah merampas 300 biji telur Penyu Hijau bernilai kira-kira RM3,000 dalam satu operasi khas di Kampung Serusup, di sini, pada Selasa.

Pengarah Hidupan Liar Sabah Mohd Soffian Abu Bakar berkata operasi hasil kerjasama Perisikan Siasatan Khas (WCB) dan Jabatan Hidupan Liar Sabah itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun bagi membantu siasatan berkaitan pemilikan hasil hidupan liar dilindungi.

Menurutnya, sebanyak 300 biji telur yang disyaki telur Penyu Hijau ditemukan dan dirampas dalam operasi berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM3,000.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki hasil haiwan yang dilindungi sepenuhnya tanpa kebenaran yang sah.

“Jabatan Hidupan Liar Sabah memandang serius sebarang aktiviti melibatkan pemilikan, perdagangan atau penyeludupan hidupan liar dan akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan bagi memastikan spesies hidupan liar yang dilindungi terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata walaupun pelbagai kempen perubahan sikap dan program kesedaran telah dilaksanakan, permintaan terhadap telur penyu masih wujud dan terus mendorong aktiviti penyeludupan serta penjualan haram.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli, memiliki atau memakan telur penyu kerana ia merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan penjualan atau penyeludupan telur penyu hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah hidupan liar dan melindungi populasi penyu di Sabah.