Warga China tak mengaku culik lelaki Singapura, minta tebusan SG$ 1 juta

10 Sep 2026 • 12:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Warga China tak mengaku culik lelaki Singapura, minta tebusan SG$ 1 juta

BALIK PULAU – Empat warga China termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LATPP), Bayan Lepas di sini, Julai lalu.

Tertuduh, Liu Ting Jun, 46, Guan Siqi, 24, Huang Jian,39, San Wang Hao Yu, 32, masing-masing tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama dua individu yang masih bebas dan dua yang sudah meninggal dunia telah menculik dan melarikan secara salah seorang lelaki warga Singapura berusia 72 tahun untuk mendapatkan wang tebusan SG$ 1 juta daripadanya.

Mereka didakwa melakukan perbuatan sedemikian di LTAPP, Bayan Lepas di sini, kira-kira pukul 4.15 petang, 26 Julai lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(1) Akta yang sama, dengan membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun serta dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affendi Zulkifly manakala tertuduh pertama hingga ketiga diwakili peguam, Azizul Hilmi Zulkifli manakala peguam Edward Ng Keep Way mewakili tertuduh keempat.

Dalam prosiding, Ikmal memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh berikutan kesalahan yang dilakukan amat serius selain melibatkan kepentingan awam.

Ikmal turut membantah pemohonan rayuan daripada kedua-dua peguam yang mewakili tertuduh.

Hakim kemudiannya bersetuju dengan pemohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 15 Oktober depan sebagai sebutan semula kes tersebut.

Pada 10 Ogos lalu, Kosmo! Online melaporkan
polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga Singapura dan wanita warga China berusia 33 tahun yang ditemukan dengan mata ditutup dan tangan bergari dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Kedah.

Hasil penemuan mangsa, polis berjaya menumpaskan sindiket yang dipercayai menggunakan tawaran kerja bergaji lumayan untuk memerangkap warga asing sebelum mangsa diculik dan dikurung bagi mendapatkan wang tebusan.

Kegiatan itu terbongkar selepas seorang wanita warga Singapura membuat laporan polis pada 6 Ogos lalu berhubung kehilangan adik lelakinya berusia 72 tahun yang dipercayai menaiki penerbangan ke Pulau Pinang pada 26 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar dilaporkan berkata, mangsa yang merupakan pesara konsultan di Singapura telah ditawarkan pekerjaan sebagai konsultan di Malaysia dengan gaji lumayan.

Menurutnya, bagaimanapun, hubungan dengan keluarga terputus sebaik mangsa tiba Pulau Pinang dan hanya berhubung melalui pesanan mesej.

Terdahulu, media melaporkan dua penjenayah maut ditembak dalam insiden berbalas tembakan menerusi serbuan sebuah rumah teres dua tingkat di Telaga Batang, Alor Setar, Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE

The post Warga China tak mengaku culik lelaki Singapura, minta tebusan SG$ 1 juta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved