Warga emas 77 tahun kayuh solo jelajah Semenanjung demi wira negara

31 Aug 2026 • 3:01 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Warga emas 77 tahun kayuh solo jelajah Semenanjung demi wira negara

PETALING JAYA – Usia bukan penghalang buat seorang bekas wartawan Utusan Melayu untuk meneruskan tradisi kayuhan solo menjelajah seluruh semenanjung sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Che Saad Noordin, 77, membuktikan semangat patriotiknya apabila melakukan kayuhan Merdeka buat kali ke-13 tahun ini, bermula dari Baling, Kedah pada 26 Julai lalu sebelum menamatkan kayuhan di Bandar Hilir, Melaka.

Che Saad berkata, beliau akan meneruskan kayuhan tersebut pada tahun hadapan sekiranya diberikan kesihatan yang baik.

“Selagi saya mampu, saya akan terus berkayuh menjelajah semenanjung pada setiap ulang tahun sambutan kemerdekaan.

“Memang ada pihak yang menasihatkan saya supaya berhenti berkayuh kerana faktor usia, namun saya tetap mahu meneruskannya demi menyanjung jasa wira negara yang terkorban ketika zaman darurat,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Beliau berkata, jasa dan perjuangan wira negara perlu terus dikenang serta disanjung meskipun mereka telah tiada.

“Jasa perjuangan wira negara amat perlu disanjung walaupun mereka telah tiada,” katanya.

Bagi kayuhan Merdeka 69 tahun ini, Che Saad memulakan perjalanan dari Baling sebelum meneruskan kayuhan melalui Gerik, Perak merentasi Banjaran Titiwangsa, Bukit Bunga, Rantau Panjang, Kota Bharu dan Pantai Penarik, Terengganu.

Kayuhan itu kemudian diteruskan ke Kemaman, Kuantan, Pekan, Rompin, Endau, Mersing, Kota Tinggi, Pontian, Batu Pahat dan Muar sebelum tiba di Bandar Hilir, Melaka.

Che Saad kemudiannya menyambut sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Melaka di Pantai Klebang hari ini.

Menurutnya, tiada pengayuh dari negeri lain yang diketahuinya melakukan kayuhan sempena sambutan Merdeka 69 tahun ini.

Semangat kental Che Saad turut mendapat penghargaan pelbagai pihak termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau.

Akmal turut menghargai usaha Che Saad yang sanggup melakukan kayuhan solo dari Baling ke Melaka sempena sambutan Merdeka 69. – KOSMO! ONLINE

The post Warga emas 77 tahun kayuh solo jelajah Semenanjung demi wira negara appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved