
PETALING JAYA – Gara-gara bermimpi tentang hutang lama, seorang warga emas nekad mencari waris pemilik kedai runcit bagi melunaskan hutang barang dapur yang dibuat kira-kira 42 tahun lalu.
Kisah itu dikongsikan seorang individu dikenali sebagai Idontcareyaaaa menerusi hantaran di Threads, apabila neneknya tiba-tiba teringat tentang hutang berkenaan selepas mengalami mimpi sebelum bertindak mencari semula catatan lama.
Lebih mengejutkan, neneknya masih menyimpan kertas yang mencatatkan hutang tersebut meskipun sudah lebih empat dekad berlalu.
“Nenek mimpi dia pernah berhutang barang dapur dengan kedai jiran. Pagi pagi dia cari kertas tu jumpa.
“42 tahun dia lupa hutang, jadi pagi pagi ni teman pegi Parit Yani nak bayar hutang. Nasib baik menulis kat kertas, orang dulu dulu punya peka dengan hutang sampai macam tu sekali takut bawa mati nenek kata,” katanya.
Perkongsian itu mengundang perhatian ramai yang tersentuh dengan kejujuran nenek berkenaan, selain memuji sikap orang dahulu yang begitu menitikberatkan soal hutang sehingga sanggup mencari waris untuk melunaskannya selepas puluhan tahun.
“Mak saya dulu ada hutang kat kedai cina..dulu-dulu orang ambil banyak. Bila suami balik lepas berbulan dari tempat kerja baru bayar. Masa tu kedai cina dekat pekan terbakar segala dikumen hangus tapi mak tetap bayar, dia ingat berapa jumlah hutang,” kongsi Anie.
“Bagus nenek dan orang dulu-dulu hutang semua dia catit,” kata Martini.
“Ni betul. Orang dulu-dulu walau kita bagi bunga telur dengan niat nak sedekah dekat kenduri anak depa pon depa tulis.. Bila masa kenduri anak si pemberi depa balas balik,” kata Faraway.
“Arwah tokwan saya buka kedai runcit masa tahun 90an.. Adalah seseorang tu RM1,000 lebih hutang tak bayar ambil barang dekat kedai, waris tahu pun tak bayar juga,” kata Ilikegenmaicha.- KOSMO! ONLINE
The post Warga emas cari waris lepas mimpi hutang 42 tahun lepas appeared first on Kosmo Online.






