
BUKIT MERTAJAM : Tiga kanak-kanak lelaki warga Myanmar mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang warga emas, minggu lepas.
Ketiga-tiga mereka yang berusia antara 11 hingga 12 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan buat kali kedua di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Berdasarkan pertuduhan, kanak-kanak berkenaan secara bersama didakwa telah melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk mencederakan seorang wanita berusia 71 tahun menggunakan mop, besi, lampu panjang berwarna putih dan seketul batu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah yang beralamat di Tingkat Binjai 14, Taman Sri Rambai di sini, kira-kira pukul 6 petang pada 22 Oktober lalu.
Atas kesalahan itu, ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama. Sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadli Hassan memohon jaminan sebanyak RM4,000 diberikan kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan beserta syarat tambahan iaitu ketiga-tiga mereka perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah.
Pada masa yang sama, katanya, tertuduh juga perlu melapor diri ke balai polis berhampiran untuk tempoh dua minggu sekali dan berjanji untuk tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai memandangkan keluarga kepada ketiga-tiga kanak-kanak terbabit tinggal berjiran dengan mangsa.
Sementara itu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Najihah Ahmad Zulkarnain yang mewakili ketiga-tiga tertuduh mahu jaminan minimum diberikan selepas mengambil kira usia kanak-kanak berkenaan dengan dua daripada mereka masih bersekolah.
Tambah Nur Najihah, bapa mereka hanya bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan sebanyak RM100 sehari manakala hanya seorang daripada ibu kepada kanak-kanak itu bekerja iaitu sebagai pekerja kilang.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan ikat jamin diberikan selain menetapkan 10 November depan sebagai tarikh sebutan kes bagi membolehkan pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa Myanmar selain bagi tujuan serahan dokumen.-UTUSAN
The post Tiga kanak-kanak warga Myanmar tak mengaku ugut warga emas appeared first on Utusan Malaysia.






