Warga emas dicekup bawa 1.5 tan minyak masak ke pangkalan haram

30 Jun 2026 • 7:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Warga emas dicekup bawa 1.5 tan minyak masak ke pangkalan haram
Seorang warga emas dicekup bersama 1.53 tan metrik minyak masak di sebuah pangkalan haram di Jeram Perdah, Rantau Panjang pada Selasa. Foto: PGA

RANTAU PANJANG – Seorang warga emas dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama 1.53 tan metrik minyak masak di sebuah pangkalan haram di Jeram Perdah, di sini pada Selasa.

Lelaki berusia 63 tahun itu mengaku menerima upah RM50 bagi setiap penghantaran dan telah terlibat dalam aktiviti berkenaan sejak kira-kira setahun lalu.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari menerusi Op Taring Wawasan hasil risikan berhubung aktiviti penyeludupan barangan kawalan ke negara jiran.

Menurut beliau, sepasukan anggota Risik Batalion 8 PGA yang menjalankan rondaan di kawasan Kampung Bukit Lata, Jeram Perdah di sini mengesan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan memasuki pangkalan haram Mat Yeh.

"Anggota bertindak menghampiri kenderaan tersebut dan mendapati seorang lelaki berada di tempat duduk pemandu.

"Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah kotak berisi minyak masak yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand," katanya kepada pemberita.

Ujar beliau, suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, selain 1,530 kilogram minyak masak turut dirampas ialah sebuah Mitsubishi Pajero yang digunakan untuk membawa barangan tersebut.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM33,825 melibatkan minyak masak bernilai RM3,825 dan kenderaan bernilai RM30,000," katanya.

Ahmad Radzi memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tangkapan serta rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved