
KOTA BELUD: Mayat seorang lelaki berusia 92 tahun yang dilaporkan hilang sejak Khamis di Kampung Sogoh, ditemukan di tepi Sungai Kadamaian, Kampung Piasau di sini, kira-kira 20 kilometer dari lokasi akhir dipercayai hilang.
Mayat Sani Giau, ditemui orang awam kira-kira jam 7.43 pagi, Jumaat sebelum pihak bomba dimaklumkan berhubung kejadian terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Elge Bakuk berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang memasuki hari kedua, dimulakan seawal jam 7 pagi.
“Pasukan penyelamat menerima maklumat penemuan mangsa yang disahkan meninggal dunia dan dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang. Pasukan seterusnya mengangkat mayat untuk diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya.
Elge berkata, punca kejadian masih dalam siasatan manakala operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.54 pagi.
Terdahulu, mangsa disedari hilang oleh keluarganya apabila tidak kembali ke rumah selepas keluar ke kebun pada jam 8 pagi, Khamis lalu.
Laporan dan panggilan kecemasan dibuat selepas mangsa tidak kembali ke rumah seperti kebiasaannya pada jam 5 petang.



