
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek Jesselton Docklands bernilai RM4.2 bilion di kawasan tepi laut bandaraya bakal menjadi pemacu perubahan sebenar ekonomi Sabah.
Pembangunan di atas tanah prima seluas 35 ekar itu, yang juga tapak bekas Pelabuhan Kota Kinabalu, akan menjadi pemangkin kepada penciptaan pekerjaan, menarik pelaburan, merangsang pelancongan dan memberi limpahan ekonomi merentasi pelbagai sektor daripada pembinaan hinggalah kepada runcit, makanan, minuman serta perkhidmatan tempatan.
“Ia akan mengubah landskap tepi laut bandar ini kepada sebuah kawasan bandar moden, ceria dan mampan. Majlis pecah tanah Jesselton Docklands menandakan satu lagi pencapaian penting dalam transformasi berterusan tepi laut bersejarah Kota Kinabalu,” katanya pada majlis pecah tanah projek tersebut di Jesselton Docklands Live Lab di sini, Jumaat.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Hajiji turut memuji Suria Capital Holdings Berhad, melalui anak syarikat milik penuh Sabah Ports Sdn Bhd, atas komitmen berterusan dan pandangan strategik dalam membangunkan potensi tapak pelabuhan ikonik itu.
“Sejak pemindahan operasi kontena ke Teluk Sapangar pada 2007, Suria kekal berusaha memanfaatkan peluang besar yang ditawarkan tepian laut ini.
“Syarikat ini memainkan peranan penting dalam membentuk semula identiti ibu negeri. Apa yang dulunya pelabuhan kini sedang berkembang menjadi hab perdagangan, pelancongan, budaya dan gaya hidup. Syabas!” katanya.
Ketua Menteri berkata transformasi itu turut merangkumi pemindahan terminal penumpang utama ke terminal sementara South Jetty, sekali gus membuka jalan untuk pembinaan terminal feri bertaraf antarabangsa yang canggih.
“Kemudahan baharu ini pasti akan meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kecekapan para pengembara, di samping melengkapi Terminal Persiaran Antarabangsa yang dirancang di bawah pelan induk Jesselton Docklands,” katanya.
Hajiji berkata peningkatan tersebut akan mengukuhkan kedudukan Kota Kinabalu di peta dunia sebagai pintu masuk utama persiaran dan feri, sekali gus mengukuhkan reputasi negeri sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Projek Jesselton Docklands, yang dibangunkan bersama dengan Bedi Development, akan menampilkan antaranya terminal persiaran antarabangsa khusus, hotel, kediaman, presint budaya dan zon komersial.
Perkembangan tepi laut ikonik itu juga akan menjadi lebih pesat dengan berlangsungnya fasa kedua usaha sama Suria dengan SBC Corporation Berhad menerusi pembangunan Jesselton Quay.
“Secara keseluruhannya, inisiatif ini akan menyaksikan pembinaan sebuah bandar tepi laut moden yang turut dilengkapi aset utama seperti Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Pusat Konvensyen Kota Kinabalu, dan Terminal Persiaran Antarabangsa pada masa hadapan,” ujarnya.
Hajiji menjelaskan, kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan seperti Suria dengan sektor swasta mencerminkan inti pati sebenar perkongsian awam-swasta, di mana aset negeri dan modal swasta bergabung untuk memacu pertumbuhan yang mampan dan berimpak.
Katanya, pada masa yang sama, projek itu juga selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, khususnya teras strategik pertumbuhan ekonomi, kemampanan, dan keterangkuman sosial.
Dalam pada itu, Hajiji turut memuji Bedi Development dan Suria atas sumbangan masing-masing sebanyak RM100,000 bagi usaha bantuan selepas banjir dan bencana alam baru-baru ini.
Turut hadir, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, Pengarah Bedi Devepoment Sdn Bhd Kong Chung Vui serta Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad, Faisyal Yusof Hamdain Diego.

