
SHAH ALAM, 26 JUN: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang manakala seorang lagi lelaki selamat selepas bot dinaiki mereka karam ketika pulang dari memancing di Sungai Selangor berdekatan kawasan Jeti Bintara, Kuala Selangor dekat sini petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 6.47 petang sebelum menggerakkan anggota ke lokasi kejadian.
“Bot dinaiki dua lelaki tempatan berusia 73 tahun dan 49 tahun telah karam ketika dalam perjalanan pulang ke jeti.
“Mangsa berusia 49 tahun berjaya menyelamatkan diri, manakala mangsa berusia 73 tahun dilaporkan hilang. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga emas itu sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi SAR yang bersambung hari ini turut melibatkan pencarian di kawasan tebing sungai dengan dibantu Unit Anjing Pengesan (K9).






