
Warga Emas Hilang Semasa Menjaring Ditemukan Lemas
KUANTAN, 8 Jan (Bernama) — Seorang warga emas ditemukan lemas hari ini, selepas dilaporkan hilang semasa menjaring ikan di sungai di Kampung Belenggu, Temerloh dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata mangsa Syed Hashim Syed Hassan, 63, ditemukan pada 10.35 pagi tadi berhampiran lokasi dia dikatakan memasang jaring.
“Ahli keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa pada 9 malam tadi selepas pesara swasta itu tidak pulang ke rumah walaupun hari sudah lewat.
“Mereka juga mendakwa pada 8.30 malam seorang jiran memberitahu motosikal mangsa ditemukan di jalan kampung terbabit, namun kelibatnya tidak berada di situ,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan malam tadi, namun terpaksa dihentikan kerana faktor cuaca serta jalan di lokasi kejadian telah dinaiki air.
Mazlan berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat.
Sumber: BERNAMA
The post Warga Emas Hilang Semasa Menjaring Ditemukan Lemas appeared first on Siakap Keli.
