JOHOR BAHRU – Ramadan lazimnya diraikan bersama keluarga dan insan tersayang, namun bagi sebahagian warga emas yang menjalani sisa kehidupan tanpa waris di sisi, suasana itu hanya tinggal kenangan.
Isu warga emas tanpa waris atau tanggungan semakin mendapat perhatian di Malaysia apabila semakin ramai golongan itu berdepan cabaran kehidupan tanpa sokongan keluarga yang kukuh.
Keadaan itu menuntut peranan lebih besar daripada pelbagai pihak termasuk sektor korporat dan komuniti dalam memastikan kebajikan mereka terus terbela, khususnya ketika bulan Ramadan yang mengutamakan semangat keprihatinan dan kebersamaan.
Seiring dengan keperluan itu, Kumpulan Sunway meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui penganjuran Program Sinar Ramadan 2026 yang menyantuni seramai 61 warga emas di Pusat Jagaan Impian Syimah, Taman Nong Chik, di sini.
Program itu melibatkan 41 warga emas dari Pusat Jagaan Impian Syimah dan 20 warga emas dari Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor, dengan kerjasama pelbagai pihak termasukYayasan AIDS Malaysia, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSJ), Selangor Youth Community dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.
Inisiatif tersebut mencerminkan usaha berterusan syarikat berkenaan dalam memperkasa kesejahteraan komuniti dan memastikan tiada golongan terpinggir daripada merasai kemeriahan Ramadan.
Melalui pendekatan yang berteraskan nilai empati dan kebersamaan, program itu bukan sahaja membantu meringankan beban penerima, malah turut menyemai kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebajikan warga emas.
**media[3459406]**
Usaha seperti itu diharap dapat menggalakkan lebih banyak pihak tampil memainkan peranan dalam memperkukuh jaringan sokongan sosial demi memastikan kesejahteraan golongan rentan seperti ini terus terpelihara.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri, Gerard Soosay berkata, Program Sinar Ramadan Sunway di bawah payung inisiatif #SunwayforGood yang bermula sejak 2014 telah memberi manfaat kepada hampir 100,000 penerima setakat ini.
Menurutnya, Johor merupakan lokasi pertama pelaksanaan program berkenaan sebelum diperluaskan ke Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.
“Program ini memberi peluang kepada sukarelawan kami yang terdiri daripada kakitangan syarikat untuk meluangkan masa menyantuni warga emas, selain membantu meringankan keperluan operasi pusat jagaan.
“Pusat jagaan dan persatuan kebajikan ini turut menerima sumbangan barangan runcit sepanjang dua bulan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Turut hadir bersama ialah Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sunway, Datin Paduka Sarena Cheah di mana meluangkan masa mengacau bubur asyura bersama sukarelawan dan menyantuni warga emas.
Selepas berbuka puasa, majlis diteruskan dengan penyerahan sumbangan keperluan asas isi rumah, pemberian kek kurma tajaan Sunway City Iskandar Puteri serta penyampaian duit raya oleh YRZSJ kepada warga emas terlibat.
Penglibatan sukarelawan golongan muda
Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan Impian Syimah, Nor Hasyimah Hamzah, merakamkan penghargaan atas keprihatinan Sunway dan rakan strategik dalam membantu golongan warga emas yang memerlukan perhatian.
“Saya berharap kehadiran sukarelawan, khususnya golongan muda, dapat membuka minda masyarakat supaya lebih peka terhadap keperluan warga emas.
“Pusat jagaan ini yang beroperasi sejak 2008 menempatkan warga emas tanpa waris, termasuk dalam kalangan gelandangan, di dua lokasi iaitu di Jalan Kemuncak dan Jalan Kemaman,” katanya.
Nilai kemanusiaan masih kukuh
**media[3459408]**
Bagi penyanyi rap Muzzammil Alias atau Waris, yang merupakan selebriti sokongan Yayasan AIDS Malaysia, inisiatif itu menyentuh hati kerana menekankan nilai menghargai dan menyantuni warga emas.
“Ia membuktikan nilai kemanusiaan masih kukuh dalam masyarakat, terutama dengan penglibatan golongan muda sebagai sukarelawan yang sanggup meluangkan masa dan tenaga demi membantu golongan memerlukan,” katanya.
Seorang lagi selebriti, Muadz Dzulkefly, berkata penglibatan pertubuhan bukan kerajaan, badan korporat dan sukarelawan amat signifikan dalam menjayakan program kebajikan sepanjang Ramadan.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi kesan kepada mereka yang dibantu, malah mendidik diri kita sendiri kerana penglibatan secara langsung mampu membina empati dan kefahaman yang lebih mendalam,” katanya.


