
SHAH ALAM, 8 NOV: Perselisihan faham dipercayai berpunca daripada hutang pembelian barangan runcit berakhir dengan kematian seorang lelaki warga emas yang ditemukan dengan kesan kelar pada leher di rumahnya di Kampung Gading, Ulu Bongawan, Papar semalam.
Susulan kejadian itu, polis menahan lelaki warga asing berusia 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan mangsa berusia 75 tahun dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan.
Suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi di kawasan kuarters pekerja ladang di kampung sama hasil risikan dan tindakan pantas pihak polis.
Ketua Polis Daerah Papar Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa di kediamannya kira-kira jam 6.15 petang semalam.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian leher yang dipercayai akibat kelaran menggunakan senjata tajam.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan hutang pembelian barangan runcit antara suspek dengan mangsa.
“Bagaimanapun, motif sebenar pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Heryan berkata suspek berjaya dikesan dan ditahan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
“Polis turut merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu untuk pemeriksaan dan analisis forensik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.





![[VIDEO] ‘Waris tolong datang, tengok kubur ni’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/18061482-307c-45ce-b88d-7e0db01223a8-1024x768.jpeg)
