Warga emas maut dilibas penyamun dengan parang

LocalPolitics
17 Apr 2026 • 4:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Warga emas maut dilibas penyamun dengan parang
Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian selepas dilibas suspek dengan senjata tajam dipercayai parang dalam kejadian pada Jumaat.

TELUK INTAN - Seorang warga emas maut selepas dilibas senjata tajam dipercayai parang oleh sekumpulan penyamun dalam kejadian di Pekan Baru di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 6.02 pagi ketika isteri mangsa berada di halaman rumah untuk persiapan sembahyang manakala mangsa sedang berehat di dalam rumah.

Menurutnya, tiga lelaki bertopeng dipercayai memanjat tembok hadapan sebelum menyerbu masuk ke dalam kediaman mangsa dan mengugutnya bagi mendapatkan barang kemas.

"Dalam kejadian tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah akibat dilibas dengan senjata tajam dipercayai parang di tangan kanan dan tapak tangan kiri sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kesemua suspek telah melarikan diri sejurus kejadian bersama barang kemas dan wang tunai milik mangsa. Jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan pihak polis," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kok Lian berkata, pihak polis kini sedang giat mengesan tiga suspek lelaki yang dipercayai berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau di talian 05-6222222.

Kok Lian turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa meningkatkan tahap keselamatan kediaman masing-masing termasuk memasang sistem keselamatan tambahan serta memastikan persekitaran rumah sentiasa dalam keadaan selamat.