Warga emas OKU maut dalam kebakaran

26 Feb 2026 • 10:07 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

IPOH – Seorang wanita warga emas orang kurang upaya (OKU) ditemukan maut selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Jalan Lahat, Simpang Pulai, di sini, malam tadi. 

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali Noriah Mat Desa, 81, yang juga pekak dan bisu, ditemukan rentung di ruang tamu bahagian tengah rumah berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.31 malam.

“Setibanya di lokasi, didapati api sedang marak membakar hampir keseluruhan rumah jenis kelas A dan terdapat seorang mangsa terperangkap manakala adik lelakinya yang berusia 79 tahun berjaya menyelamatkan diri. 

“Selepas kerja-kerja pemadaman selesai, mangsa dijumpai mati terbakar di ruang tamu bahagian tengah rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, kebakaran itu memusnahkan kira-kira 90 peratus struktur rumah terbabit.

Katanya, Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM bersama polis telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian, selain Unit Pengesan K9 turut dipanggil membantu siasatan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi pemadaman melibatkan 17 anggota dari BBP Simpang Pulai dengan bantuan BBP Pasir Puteh serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru.

Sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran sehingga kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.20 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.01 pagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved