Warga Emas, Remaja Terselamat Dalam Kebakaran Di Pendang

19 Apr 2026 • 9:41 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Warga Emas, Remaja Terselamat Dalam Kebakaran Di Pendang

Warga Emas, Remaja Terselamat Dalam Kebakaran Di Pendang

Pendang -- Dua wanita berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah kabin dapur di kawasan Masjid Al-Falah, Felda Sungai Tiang, di sini, petang Sabtu.

Kejadian melibatkan seorang warga emas dan seorang pekerja wanita berusia 19 tahun yang terperangkap di dalam kabin dapur apabila api marak di bahagian hadapan pintu kabin berkenaan.

Image from: Warga Emas, Remaja Terselamat Dalam Kebakaran Di Pendang
Kredit: TikTok @faruqi.norazmi

Menurut Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Muhammad Athir, dia bersama rakannya, Mohamad Anas dari Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, berada di lokasi selepas selesai menjalankan tugasan rasmi.

Maklumnya ketika ditanya SK, mereka berada di kawasan berkenaan secara kebetulan selepas menamatkan tugas sebagai Pegawai Dokumentasi bagi Program Kadet Bomba peringkat daerah di negeri Kedah.

“Kami kebetulan selesai tugasan sebagai Pegawai Dokumentasi bagi Program Kadet Bomba peringkat daerah negeri Kedah, singgah untuk minum dan buat kerja sedikit,” katanya.

Baca juga:

Muhammad Athir berkata, dia menyedari kejadian itu selepas melihat api tiba-tiba marak dari sebuah kabin dapur di kawasan berkenaan.

“Pada mulanya saya ingat makcik itu sedang memasak, rupanya api tidak dapat dikawal disebabkan kepala tolok (gauge) gas tercabut,” katanya.

Dia berkata, keadaan menjadi lebih cemas apabila pintu kabin berkenaan terkunci dari dalam dan api berada betul-betul di hadapan pintu keluar.

Image from: Warga Emas, Remaja Terselamat Dalam Kebakaran Di Pendang
Kredit: TikTok @faruqi.norazmi

Menurut Muhammad Athir, ketiadaan alat pemadam api di gerai kabin memaksanya berlari ke arah masjid bersama orang awam bagi mendapatkan alat pemadam api.

“Alat pemadam api tiada di gerai-gerai kabin. Saya terpaksa berlari ke masjid sejauh kira-kira 300 kaki bersama orang awam untuk mendapatkan dua tong alat pemadam api debu kering,” kongsinya.

Image from: Warga Emas, Remaja Terselamat Dalam Kebakaran Di Pendang
Kredit: TikTok @faruqi.norazmi

Katanya lagi, dalam masa sama, rakannya bersama beberapa orang awam bertindak pantas menyelamatkan kedua-dua mangsa yang terperangkap di dalam kabin tersebut.

“Seorang mak cik dan seorang pekerja wanita berusia 19 tahun terperangkap. Rakan saya bertindak menyelamatkan mangsa bersama orang awam dengan menarik keluar mangsa,” ujarnya.

Image from: Warga Emas, Remaja Terselamat Dalam Kebakaran Di Pendang
Kredit: TikTok @faruqi.norazmi

Dia kemudiannya menumpukan usaha untuk menyekat api daripada merebak dan memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api yang diperoleh.

Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat hasil tindakan pantas individu terlibat di lokasi kejadian.

Setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai tahap kecederaan mangsa serta jumlah kerosakan yang dialami dalam kejadian tersebut.