Warga emas rempuh penghantar makanan: Kertas siasatan dirujuk ke TPR

18 May 2026 • 2:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Warga emas rempuh penghantar makanan: Kertas siasatan dirujuk ke TPR
Kertas siasatan kes kemalangan maut melibatkan lelaki warga emas yang merempuh penunggang motosikal di Petaling Jaya telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Image from: Warga emas rempuh penghantar makanan: Kertas siasatan dirujuk ke TPR
Shazeli pada sidang media di IPK Selangor, Isnin. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Kertas siasatan kes kemalangan maut melibatkan lelaki warga emas yang merempuh seorang penunggang motosikal di Jalan 17/21, Petaling Jaya, pada 5 Mei lalu, telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Isnin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kertas siasatan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada TPR untuk dikaji dan mendapatkan arahan lanjut.

"Kita juga sudah perolehi laporan teknikal sebelum kertas siasatan dilengkapkan.

"Pihak polis akan memaklumkan sekiranya ada pertuduhan atau lain-lain tindakan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Isnin.

**media[3524554]**

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, pemandu Proton X70 iaitu lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an itu ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebas dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu berkenaan sehingga hilang kawalan kenderaan.

Ketika kejadian, lelaki berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah, manakala mangsa yang juga penghantar makanan sedang bekerja.

Ujian saringan awal air kencing dan ujian alkohol terhadap pemandu berkenaan didapati negatif.

Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.