
SHAH ALAM, 28 SEPT: Lelaki warga emas ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Kuala Dong dekat Gesing, Raub malam tadi.
Dalam kejadian jam 9.50 malam itu, mangsa berusia 80 tahun ditemukan terperangkap di ruang tamu rumah jenis separuh kekal berkenaan.
Kebakaran itu mengakibatkan kira-kira 80 peratus rumah terbabit musnah.
Isteri mangsa yang berusia 76 tahun bagaimanapun dilaporkan selamat dalam kejadian berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Razam Taja Rahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 9.56 malam.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub digerakkan ke lokasi sebelum tiba pada jam 10.20 malam.
“Komander operasi melaporkan terdapat seorang warga emas lelaki terperangkap di dalam rumah berkenaan ketika kebakaran berlaku.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman dan kawalan bagi memastikan api tidak merebak ke bahagian lain rumah,” katanya dalam kenyataan, lapor KOSMO! ONLINE.
Berdasarkan kenyataan berkenaan, mangsa ditemukan terperangkap di ruang tamu rumah yang terbakar kira-kira 80 peratus, manakala isterinya terselamat.




