KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang wanita warga emas untuk meraih keuntungan mudah melalui pelaburan saham tidak wujud berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM87,975.04.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula pada 3 Oktober lalu ketika mangsa yang juga suri rumah berusia 63 tahun berada di rumahnya di Wakaf Tembesu, di sini melayari aplikasi Facebook dan tertarik dengan iklan pelaburan saham.
Menurut beliau, mangsa kemudian menekan pautan disediakan dan mula berhubung melalui aplikasi WhatsApp dengan dua individu.
"Suspek telah memberikan penerangan serta arahan mengenai pelaburan dan menjanjikan pulangan lumayan, di mana dengan modal sebanyak RM450.00, mangsa dijanjikan pulangan mencecah RM25,000.00 dalam tempoh hanya empat jam," katanya di sini pada Isnin.
Beliau memberitahu, sepanjang urusan tersebut, mangsa telah membuat sembilan transaksi bayaran ke beberapa akaun bank berbeza antara 3 Oktober hingga 12 Oktober lalu.
Bayaran dari peringkat awal hingga transaksi kesembilan itu turut merangkumi pelbagai alasan bayaran tambahan seperti kos wang proses, kos guaman, kos kesilapan nombor TAC sebanyak enam kali, serta kos bayaran tandatangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Tambah Azli, mangsa akhirnya membuat laporan polis jam 7.58 malam pada 18 Oktober lalu setelah sedar ditipu apabila tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan.
"Hasil siasatan mendapati sumber kewangan yang digunakan mangsa untuk pelaburan itu adalah daripada wang simpanan peribadinya sebanyak RM20,000.00 serta hasil gadaian barang kemas di bank sebanyak RM67,975.04.
"Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.






