Penyamar ADC Raja Muda Selangor dijel lagi, empat sebatan

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 3:39 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penyamar ADC Raja Muda Selangor dijel lagi, empat sebatan

KUALA LUMPUR – Seorang yang lelaki yang menyamar sebagai juriring (ADC) Raja Muda Selangor yang telah dihukum semalam, dipenjara lagi dua tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas empat pertuduhan menipu seorang doktor wanita berkaitan pembelian hartanah dan kenderaan mewah.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Al Zulfadly Alias, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan yang didakwa ke atasnya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 16 November lalu (semalam).

Mengikut keempat-empat pertuduhan, Al Zulfadly didakwa bersama-sama tunangnya Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, didakwa telah menipu seorang doktor wanita berhubung tawaran aset hartanah di Eco Ardence serta sebuah kenderaan mewah jenis Lexus LM 500h sehingga mendorong mangsa memindahkan wang berjumlah RM155,000 menerusi lima transaksi dalam talian ke akaun bank milik Al Zulfadly.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Ampang, di sini, antara 2 hingga 19 Julai lepas.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Bagaimanapun Nurul Nur Syahirah mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sama dan mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM15,000.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd. Khusri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira tindakan lelaki itu melibatkan insitusi diraja bagi tujuan menipu selain ia membabitkan jumlah yang banyak.

Bagaimanapun Al Zulfadly, yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana dia telah insaf atas perbuatannya.

Semalam tertuduh telah dihukum penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menipu seorang selebriti lelaki berusia 35 tahun berhubung pembelian hartanah manakala tunangnya Nurul Nur Syahirah kekal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa.

Mengikut fakta kes, pada 1 September 2023, mangsa telah berkenalan dengan Nurul Nur Syahirah yang merupakan pesakitnya dan memperkenalkan mangsa dengan Al Zulfadly yang didakwa suaminya.

Tertuduh memaklumkan kepada mangsa bahawa dia mempunyai hubungan dengan Raja Muda Selangor bagi meyakinkan mangsa bahawa dia boleh mendapatkan kenderaan mewah serta hartanah pada harga lebih murah berbanding harga di pasaran.

Mangsa telah mempercayai dakwaan kedua-dua tertuduh dan membuat lima transaksi deposit berjumlah RM155,000 ke dalam akaun bank milik Al Zulfadly. – KOSMO! ONLINE

The post Penyamar ADC Raja Muda Selangor dijel lagi, empat sebatan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved