
Kota Kinabalu: Seorang warga Jerman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu memasuki Sabah secara tidak sah dan menghalang pegawai imigresen daripada menjalankan tugas sebagai pegawai penyiasat.
Kuecuekboga Suleyman yang memegang pasport Republik Jerman dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain untuk direkodkan pengakuannya.
Bagaimanapun mahkamah tidak dapat merekodkan pengakuan tertuduh selepas dia berkeras mendakwa tidak memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Apabila ditanya bahasa yang difahaminya, Kuecuekboga memaklumkan bahawa dia hanya bertutur dalam bahasa Jerman.
Seorang jurubahasa Jerman dari kedutaan hadir membantu mahkamah namun walaupun pertuduhan telah dijelaskan beberapa kali dalam bahasa Jerman, tertuduh tetap menyatakan bahawa dia tidak memahaminya.
Kuecuekboga yang tidak diwakili peguam turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia berhasrat melantik peguam bela.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memasuki Sabah tanpa dokumen perjalanan yang sah di premis Jabatan Imigresen di Jalan UMS pada jam 8.50 pagi, 27 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menghalang seorang pegawai imigresen daripada merakam keterangannya di premis Jabatan Imigresen pada jam 4.30 petang, 5 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 56(g)(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 56(1)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara sehingga lima tahun jika disabitkan.
Mahkamah menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen berkaitan kepada tertuduh bagi tujuan pembelaan.
Sementara menunggu penyelesaian kes Kuecuekboga diperintahkan untuk terus ditahan reman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat.






