SABAK BERNAM - Seorang pekerja syarikat kurier yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut apabila motosikal ditunggang bergesel dengan sebuah treler di Kilometer 54 Jalan Klang–Teluk Intan, Sungai Besar di sini pada Selasa.
Kemalangan jam 6.45 petang itu mengakibatkan lelaki warga tempatan berusia 32 tahun meninggal dunia selepas cedera di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai menunggang motosikal Yamaha Lagenda dari tempat kerjanya di sekitar Sungai Besar.
"Setibanya di lokasi menghala ke arah Peket 20, motosikal mangsa di lorong kiri jalan dipercayai secara tiba-tiba bergesel dengan sebuah treler di lorong sama.
"Kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh di kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam bagi proses bedah siasat.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 bagi membantu siasatan.

