Warga Korea Selatan dikehendaki kes tipu RM9.4 juta ditahan guna pas kerja palsu

9 Apr 2026 • 12:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Imigresen Johor tahan warga Korea dan pekerja Filipina dalam serbuan di kawasan elit di Horizon Hills. - Foto JIM Johor
image is not available
Imigresen Johor menahan warga Korea dipercayai guna dokumen palsu untuk menetap di kediaman mewah di kawasan elit Horizon Hills. - Foto JIM Malaysia

JOHOR BAHRU – [KEMAS KINI] Seorang lelaki warganegara Korea Selatan yang dikehendaki di negara asal kerana kes penipuan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor selepas didapati menggunakan pas penggajian disyaki palsu untuk tinggal di negara ini.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 49 tahun itu terbabit dengan kes penipuan membabitkan kerugian berjumlah KRW 3.5 billion (Korean Won) bersamaan kira-kira RM9.4 juta.

"Berdasarkan maklumat awam dan hasil risikan, kita berjaya menahan seorang lelaki warga Korea yang berada di negara ini dengan menggunakan pas penggajian yang disyaki palsu.

**media[3486198]**

"Ketika pemeriksaan dijalankan lelaki itu ditemui bersama isterinya yang juga warga China dan dua anak lelaki yang berada dalam kediaman terbabit dalam kawasan elit dekat Horizon Hills di sini pada Rabu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Rusdi menambah, ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat juga seorang wanita warga Filipina berusia 55 tahun yang sedang melakukan kerja pembersihan di halaman kediaman.

"Hasil pemeriksaan dokumen perjalanan mendapati lelaki warga Korea Selatan itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Sementara seorang anak warga Korea berkenaan menggunakan pas lawatan sosial dan seorang lagi menggunakan pas pelajar.

"Selain itu, semakan sistem JIM juga mendapati lelaki itu bersama pekerja pembersihan warga Filipina terbabit telah tinggal lebih masa di Malaysia," ujarnya.

Katanya lagi, kedua-dua individu itu kemudian ditangkap dan ditahan reman selama 14 hari untuk tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, Mohd Rusdi berkata, JIM Johor akan menggiatkan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dan ejen yang menjadi dalang pemalsuan dokumen yang menyalahi undang-undang Malaysia.