
KUALA LUMPUR – Sindiket penculikan yang tumpas di Kedah baru-baru ini dipercayai menggunakan tawaran kerja bergaji lumayan untuk memerangkap warga asing sebelum mangsa diculik dan dikurung bagi mendapatkan wang tebusan.
Kegiatan itu terbongkar selepas seorang wanita warga Singapura membuat laporan polis pada 6 Ogos lalu berhubung kehilangan adik lelakinya berusia 72 tahun yang dipercayai menaiki penerbangan ke Pulau Pinang pada 26 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, mangsa yang merupakan pesara konsultan di Singapura telah ditawarkan pekerjaan sebagai konsultan di Malaysia dengan gaji lumayan.
Menurutnya, bagaimanapun, hubungan dengan keluarga terputus sebaik mangsa tiba Pulau Pinang dan hanya berhubung melalui pesanan mesej.
“Pada 4 Ogos lalu, kakak mangsa menerima pesanan suara memaklumkan adiknya dikurung dan sindiket meminta wang tebusan SG$1 juta (RM3.2 juta) untuk dibebaskan.
“Keluarga mangsa juga menerima video menunjukkan mangsa digari dengan mata ditutup,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga Singapura dan wanita warga China berusia 33 tahun yang ditemukan dengan mata ditutup dan tangan bergari dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Amira, Telaga Bata, di sini, Jumaat lalu.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, siasatan mendapati keluarga mangsa lelaki telah membuat bayaran sebanyak tiga kali berjumlah kira-kira SG$15,000 (RM48,000) ke dalam akaun mangsa yang dikawal suspek.
“Mangsa wanita diminta membayar AS$20,000 (RM64,000) kepada suspek namun bayaran itu masih belum dibuat,” ujarnya.
Terdahulu, dua penjenayah maut ditembak dalam insiden berbalas tembakan menerusi serbuan sebuah rumah teres dua tingkat di Telaga Batang, Alor Setar.
Polis turut merampas dua pucuk pistol semi auto jenis Baretta mengandungi lima butir peluru dan revolver mengandungi empat butir peluru serta sebilah parang panjang
Beliau berkata, serbuan kedua di sebuah rumah kira-kira 500 meter dari lokasi pertama membawa kepada penahanan enam suspek terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita membabitkan seorang warga tempatan serta warga China.
“Siasatan lanjut mendapati kumpulan sama dipercayai terlibat dalam dua kes penculikan lain di Kuala Lumpur, termasuk satu kes pada 20 Julai lalu yang menyaksikan mangsa berjaya melepaskan diri.
“Kesemua enam suspek ditahan reman selama tujuh hari hingga 14 Ogos ini, manakala saringan air kencing mendapati empat lelaki warga China positif.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Mangsa culik ditawar kerja sebelum diminta tebusan RM3.2 juta appeared first on Kosmo Digital.






