
PETALING JAYA: Keluarga kepada 55 rakyat Malaysia yang masih hilang semasa banjir kilat di Rasuwagadhi, Nepal, merayu agar dapat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pertemuan secara langsung itu bertujuan bagi mendapatkan penyelesaian terhadap beban kewangan yang terpaksa ditanggung ahli waris sejak kehilangan ahli keluarga mereka.
Wakil keluarga mangsa, Ts. Dr. Manivannan Rethinam berkata, ramai berdepan pelbagai komitmen kewangan termasuk pinjaman rumah, kenderaan dan hutang peribadi yang ditinggalkan mangsa, sedangkan akaun bank milik individu yang masih hilang itu tidak dapat digunakan.
Katanya, keadaan tersebut menambahkan tekanan kepada keluarga yang terpaksa meneruskan kehidupan harian tanpa kepastian mengenai nasib ahli keluarga masing-masing.
“Pertemuan secara langsung dengan Perdana Menteri amat diperlukan bagi memastikan isu kewangan, perundangan dan kebajikan waris dapat ditangani secara efisien.
“Keluarga bukan meminta hutang mangsa dihapuskan, sebaliknya mengharapkan kerajaan meneliti mekanisme perlindungan sementara termasuk moratorium terhadap komitmen kewangan sehingga status undang-undang individu yang masih hilang diselesaikan.
“Keluarga tidak sepatutnya terpaksa berurusan dengan bank, syarikat insurans, pemiutang dan peguam secara berasingan tanpa penyelarasan daripada kerajaan.
“Kami memerlukan perlindungan sementara bagi mengelakkan keluarga berdepan tekanan kewangan tambahan, penalti kelewatan pembayaran atau tindakan kutipan hutang ketika status mangsa belum diselesaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahad lalu, Wisma Putra mengadakan pertemuan dengan 95 waris terdekat dan wakil keluarga yang mewakili keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih dilaporkan belum dapat dihubungi, susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal, 26 Ogos lalu.
Sesi yang diadakan itu bertujuan memaklumkan keluarga mengenai perkembangan terkini yang disahkan, serta memberi ruang kepada mereka untuk mengemukakan pertanyaan secara langsung kepada kementerian dan agensi-agensi terlibat dalam usaha pencarian itu.
Manivannan berkata, waris keluarga turut memerlukan penjelasan bertulis mengenai implikasi undang-undang sekiranya proses pengesahan kematian di Nepal mengambil masa panjang.
Jelasnya, keluarga dimaklumkan proses pengesahan kematian di Nepal bagi kejadian bencana seumpama itu boleh mengambil masa sehingga tiga tahun, walaupun pihak berkuasa negara berkenaan sedang meneliti kemungkinan memendekkan tempoh tersebut.
Manivannan berkata, keluarga mangsa turut mempersoalkan ketiadaan wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam pertemuan bersama agensi kerajaan di Wisma Putra, Ahad lalu.
Jelasnya, pertemuan itu diadakan bagi memberikan perkembangan terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat serta proses pengecaman DNA kepada waris mangsa.
“Dalam pertemuan tersebut, keluarga dimaklumkan sebanyak 98 sampel DNA telah dikumpulkan, diproses dan diserahkan kepada pihak berkuasa Nepal, manakala tiga sampel DNA turut diserahkan menerusi saluran China-Tibet bagi tujuan pemadanan.
“Jabatan Kimia Malaysia pula mengesahkan proses pengambilan dan pemprosesan sampel DNA di Malaysia selesai pada 24 September lalu.
“Bagaimanapun, keluarga dimaklumkan kerajaan Nepal sedang membincangkan kemungkinan menamatkan operasi mencari dan menyelamat, namun tiada tarikh muktamad diberikan. Proses pemadanan DNA pula dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan,” katanya.
Beliau pada masa sama turut berharap satu lagi pertemuan dapat diadakan dengan kehadiran agensi yang mempunyai kuasa membuat keputusan, selain menyediakan saluran sehenti bagi membantu waris menguruskan urusan perbankan, insurans dan komitmen kewangan.
“Kami bukan meminta layanan istimewa. Kami meminta layanan yang adil, maklumat tepat pada masanya, kepastian undang-undang, tindakan bersepadu dan perlindungan praktikal,” katanya.-UTUSAN
The post Waris 55 rakyat Malaysia hilang di Nepal mahu jumpa PM appeared first on Utusan Malaysia.






