
KUALA LUMPUR: Mekanisme pampasan atau ganti rugi kepada mangsa atau waris yang dilanggar pemandu mabuk akan dimasukkan dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] sebagai tambahan kepada hukuman jenayah sedia ada.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia selepas Jemaah Menteri menyatakan persetujuan secara dasar supaya pemandu mabuk turut memikul tanggungjawab untuk membayar kerugian yang ditanggung oleh mangsa atau keluarga mereka.
Beliau berkata, setakat ini, pemandu mabuk hanya dikenakan hukuman penjara, denda dan kehilangan kelayakan memandu.
Justeru itu, mekanisme terperinci berkaitan bentuk pampasan, kaedah penilaian dan pelaksanaannya sedang diperhalusi sebelum cadangan pindaan dibentangkan di Parlimen.
“Pada masa ini, Seksyen 44 Akta 333 memperuntukkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.
“Akta ini juga mengawal kesalahan berkaitan kandungan alkohol melebihi had yang dibenarkan melalui Seksyen 45A serta peruntukan berkaitan ujian nafas dan spesimen.
“Namun demikian, kerajaan berpandangan selain hukuman punitif, strategi yang dilaksanakan perlu merangkumi pencegahan, penguatkuasaan, pendidikan dan kawalan terhadap pemandu berisiko tinggi,” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) sama ada kementerian berhasrat menggubal mekanisme perundangan bagi mewajibkan pampasan mandatori (restitusi) pemandu mabuk kepada mangsa atau waris yang terkesan akibat kecederaan parah atau kematian, sebagai tambahan hukuman penjara dan denda sedia ada.
Anthony berkata, kerajaan juga sedang meneliti pengukuhan sistem mata demerit dan tindakan terhadap lesen memandu pesalah mabuk berulang.
Jelasnya, ia selaras dengan keputusan dasar yang telah dibuat bagi memperkukuh keseluruhan kerangka tindakan terhadap kesalahan berisiko tinggi.
Beliau berkata, pada masa ini, kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dibawa terus ke mahkamah dan tidak termasuk dalam senarai kesalahan yang dikenakan mata demerit.
“Pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan tindakan terhadap pemandu mabuk merangkumi bukan sahaja hukuman kepada pesalah, tetapi juga perlindungan dan pembelaan yang lebih baik kepada mangsa serta waris, di samping intervensi pencegahan bagi mengurangkan risiko kejadian daripada berlaku,” katanya. –UTUSAN
The post Waris mangsa pemandu mabuk bakal dapat ganti rugi appeared first on Utusan Malaysia.





