
KERAJAAN negeri dan seluruh rakyat sama sekali tidak mengiktiraf sebarang tuntutan oleh pihak yang mengaku waris kumpulan Sulu ke atas negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata rakyat Sabah sendiri telah sekian lama memilih untuk bersama membentuk sebuah Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), justeru sebarang tuntutan pihak luar terhadap Sabah tidak akan diktiraf sama sekali oleh rakyat negeri itu.
Hajiji berkata Kerajaan Sabah yakin Kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan serius dan langkah yang konkrit bagi menyelesaikan apa sahaja isu tuntutan ke atas Sabah, termasuk tuntutan yang dibuat oleh kumpulan tersebut.
“Memang kita yakin (dengan Kerajaan Persekutuan) kerana kita sendiri tidak pernah mengiktiraf tuntutan (kumpulan mendakwa waris) Sultan Sulu ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada ibu tunggal dan penduduk kurang bernasib baik pada majlis yang diadakan di Masjid Jamek Putatan pada 29 Mac, dengan kira-kira 400 penduduk menerima sumbangan.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Sahari.
Kumpulan yang mendakwa waris Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Sementara itu, Hajiji berkata beliau yakin Kerajaan Persekutuan akan dapat menyelesaikan beberapa perkara yang masih belum dilaksanakan dalam MA63 untuk Sabah dan Sarawak.
“Saya percaya kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan memberi pertimbangan sewajarnya kepada isu atau perkara (berkaitan MA63) yang masih belum dilaksanakan,” katanya.
Pada 19 Januari lepas, di Kuching, Sarawak, Anwar dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan berpendapat setiap perjanjian yang dimeterai dengan Sabah dan Sarawak termasuk MA63 mesti dihormati dan ditunaikan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

