SHAH ALAM – Waris kepada keluarga yang terputus hubungan dalam kejadian banjir besar di Nepal terus menanti perkembangan terbaharu daripada pihak berkuasa, termasuk proses pengesahan identiti mangsa.
Sivakumar Kalimuthu, 63, berkata, sehingga kini keluarganya masih belum menerima sebarang panggilan berhubung pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mahupun perkembangan rasmi mengenai keadaan isterinya, Kalai Mathe Karuppaiah, 57.
“Selepas pertemuan dengan Wisma Putra, tiada perkembangan baharu dan anak kami juga belum menerima sebarang panggilan untuk pengambilan sampel DNA.
“Setakat ini, kami hanya mampu menunggu dan mengharapkan berita yang baik dari sana,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, seorang lagi waris, K. Divya Varshini, 29, memaklumkan keluarganya kini bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan susulan proses pengambilan sampel DNA.
Menurutnya, sampel ahli keluarga akan diambil pada Rabu sebagai sebahagian daripada usaha mengesan bapanya, V. Krishnan, 74, yang terputus hubungan sejak hari kejadian.
“Setakat ini, tiada perkembangan baharu daripada pihak berkuasa kepada keluarga kami dan kami bersedia untuk melalui proses yang diperlukan.
“Pada tahap ini, kami berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan,” katanya.
Kedua-dua mangsa merupakan antara rakyat Malaysia yang dilaporkan masih gagal dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku pada 26 Ogos lalu.
Mereka dilaporkan mengikuti upacara keagamaan secara berkumpulan di Gunung Kailash, yang merupakan antara lokasi suci bagi penganut Hindu dan menjadi sebahagian daripada perjalanan keagamaan mereka.
Bencana itu berlaku apabila glasier di Gunung Langtang Lirung, Nepal, pecah pada ketinggian kira-kira 5,200 meter, sekali gus mencetuskan runtuhan ais dan batuan yang bertukar menjadi aliran puing berskala besar.
Aliran air deras serta tanah runtuh berlumpur memusnahkan kawasan Rasuwa, Nuwakot, Dhading, Kavre dan Lembah Kathmandu di Nepal, selain menimbus lintasan sempadan Gyirong yang menghubungkan Nepal dengan wilayah Tibet di China.






