Program RXZ Members 8.0 catat 46 kemalangan jalan raya, 11 penunggang maut - Polis

4 Aug 2026 • 6:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Program RXZ Members 8.0 catat 46 kemalangan jalan raya, 11 penunggang maut - Polis Image from: Program RXZ Members 8.0 catat 46 kemalangan jalan raya, 11 penunggang maut - Polis liza04/08/2026 - 18:29

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Sebanyak 46 kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal direkodkan dalam tempoh empat hari bermula 30 Julai hingga Ahad lalu sempena program RXZ Members 8.0.

 

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, daripada jumlah itu, 11 kes atau 23.91% adalah kemalangan maut, lima kes (10.87%) kemalangan parah dan 30 kes (65.22%) kemalangan ringan.

 

Beliau berkata, mengikut pecahan harian, empat kes direkodkan pada 30 Julai, diikuti 16 kes pada 31 Julai, 11 kes pada 1 Ogos dan 15 kes pada 2 Ogos, membabitkan keseluruhan 44 mangsa lelaki dan dua wanita.

 

Golongan usia 21 hingga 30 tahun paling ramai terlibat

"Analisis profil umur mendapati kumpulan berusia antara 21 hingga 30 tahun merekodkan penglibatan tertinggi iaitu seramai 19 orang, diikuti kumpulan umur 18 hingga 20 tahun (10), 41 hingga 50 tahun (sembilan) dan 31 hingga 40 tahun (lapan)," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi JSPT hari ini.

 

Muhammed Hasbullah berkata, analisis turut mendapati kemalangan melibatkan pelanggaran dari belakang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 21 kes, diikuti terbabas (15), pelanggaran sisi (tujuh) dan bergesel dengan kenderaan (3).

 

Beliau berkata, semua 11 kes kemalangan maut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala lima kes kemalangan parah disiasat di bawah Seksyen 43(1) akta sama, sementara kes kemalangan ringan disiasat mengikut peruntukan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas yang berkaitan.

 

Polis gesa penunggang utamakan keselamatan

Muhammed Hasbullah berkata, JSPT memandang serius jumlah kemalangan maut dan parah yang direkodkan, khususnya membabitkan penunggang motosikal muda.

 

"Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kemalangan ialah kecuaian, gagal mengawal kenderaan, mengekori kenderaan terlalu rapat dan menunggang secara tidak selamat sehingga membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain," katanya.

 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua penunggang motosikal supaya sentiasa mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat, mengelakkan pergerakan berkumpulan secara tidak terkawal, tidak berlumba atau melakukan aksi berbahaya serta memastikan motosikal berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan.

 

Beliau turut mengesyorkan agar penganjur program atau perhimpunan motosikal menyediakan pelan pergerakan yang teratur, memberi taklimat keselamatan kepada peserta dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kemalangan. – BERNAMA
 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved