
SANDAKAN: Parti Warisan tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti-parti lain pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi merangkap Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal (gambar) berkata keutamaan parti itu adalah membuktikan bahawa ia merupakan parti yang mampu membawa kemakmuran kepada negeri.
“Oleh itu, kami lebih cenderung untuk memberi fokus kepada perjuangan sebenar memenangi PRN17 dengan bersatu bersama rakyat berbanding membentuk pakatan dengan parti-parti politik lain,” katanya.
“Kami yakin sepenuhnya bahawa kemenangan terletak di tangan pengundi, yang mengetahui parti mana mampu menjamin masa depan Sabah.”Beliau berkata berdasarkan situasi politik semasa di Sabah, pengundi akan membuat pertimbangan terbaik demi memastikan masa depan negeri dan rakyatnya.
“Apabila tiba hari pengundian, rakyat Sabah tidak akan keliru dalam membuat pilihan parti yang mereka percaya dapat menjamin masa depan Sabah,” katanya.
Pilihan itu, jelasnya, akan menentukan kemajuan negeri seiring dengan pembangunan yang mereka lihat pada masa ini.
Yusof berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Parti Warisan Batu Sapi di Hotel Sanbay, Ahad.

