Warna, aroma dan juadah: Bazar Ramadan meriahkan petang Selangor

21 Feb 2026 • 12:23 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Ramadan kembali menyapa, membawa bersama getar rindu yang hanya hadir setahun sekali.

Di bulan penuh keberkatan ini, bukan sahaja masjid dan surau kembali meriah dengan jemaah, malah deretan bazar Ramadan di seluruh Selangor turut hidup dengan warna, aroma dan suara tawar-menawar yang menghidupkan petang.

Sejak hari pertama, tapak bazar di sekitar Selangor sudah dipenuhi pengunjung. Seawal jam 4 petang, orang ramai mula berpusu-pusu menyusuri lorong gerai, mencari juadah kegemaran untuk dibawa pulang untuk berbuka.

Ada yang datang bersama keluarga, ada yang singgah sepulang kerja. Wajah-wajah teruja jelas terpancar seolah-olah inilah momen yang dinanti setelah setahun berlalu. Di udara, harum santan dan gula Melaka bersatu dengan bau ayam percik yang baru diangkat dari bara.

Deretan gerai berwarna-warni tersusun rapi, dihiasi sepanduk dan lampu kecil yang menambah seri suasana. Sapaan mesra peniaga menarik pelanggan seakan simfoni khas Ramadan yang begitu dekat di hati rakyat.

Aneka kuih-muih tradisional dan moden memenuhi meja jualan. Tepung pelita yang lembut berlemak, seri muka yang manis dan harum, serta cara berlauk yang sentiasa menjadi rebutan.

Onde-onde berinti gula Melaka, kuih talam berlapis dan popia basah yang sarat dengan sayuran segar pula terus menggamit selera.

Tidak ketinggalan hidangan berat seperti murtabak berinti padat, ayam percik berempah dan nasi kerabu beraneka lauk. Air balang pelbagai rasa, ada sirap bandung, tembikai dan teh ais menjadi penawar dahaga, terutama dalam cuaca petang yang masih hangat.

Di sebalik kemeriahan itu, bazar Ramadan bukan sekadar lokasi membeli juadah. Ia adalah ruang pertemuan komuniti, tempat gelak tawa dan nostalgia lama kembali bersemi.

Lensa jurufoto Media Selangor turut merakam setiap detik kemeriahan dan keunikan bazar Ramadan sekitar Lembah Klang, momen yang sentiasa dinanti-nantikan saban tahun. SEMUA FOTO DIRAKAM MENGGUNAKAN XIAOMI 15T SERIES

image is not available
Mohd Firdaus Mahader menyusun kuih sebelum memulakan perniagaan di bazar Ramadan PKNS, Seksyen 14, Shah Alam.

image is not available
Siti Nor Nabila Abdul Ghani (tengah) menjual tepung peilta di bazar Ramadan PKNS, Seksyen 14, Shah Alam. Tepung pelita yang dihasilkannya mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang tidak melepaskan peluang mendapatkan juadah tradisi itu untuk berbuka puasa.

image is not available
Khalidi Roslan membakar ayam percik di bazar Ramadan PKNS, Seksyen 14, Shah Alam pada 20 Februari 2026.

image is not available
Pelbagai jenis kuih muih boleh didapati di bazar Ramadan PKNS, Seksyen 14, Shah Alam.

image is not available
Peniaga, Yusri Azri, 42, menunjukkan jualannya di gerai Stew Grill ketika tinjauan Media Selangor di bazar Ramadan Melawati, Hulu Kelang pada 19 Februari 2026.

image is not available
Adi Usman, 40, membakar sate di gerai KCW ketika tinjauan Media Selangor di bazar Ramadan Melawati, Hulu Kelang.

image is not available
Orang ramai membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan Melawati, Hulu Kelang pada 20 Februari 2026.

image is not available
Pengunjung beratur untuk membeli Ayam Golek Zaharah ketika tinjauan Media Selangor di bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13 pada 19 Februari 2026.

image is not available
Nasi Briyani Ghafur antara juadah yang menjadi pilihan pengunjung di bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13.

image is not available
Peniaga Ikan Bakar Gerekk Sehh menyediakan pelbagai jenis ikan bakar di bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13.

image is not available
Pelbagai juadah yang dijual untuk berbuka puasa di bazar Ramadhan Taman Melawati ketika tinjauan Media Selangor pada 20 Februari 2026.

image is not available
Orang ramai membeli kuih King Keria di bazar Ramadhan Taman Melawati pada 20 Februari 2026.

image is not available
Peniaga Murtabak Manja, Cikman menyediakan murtabak untuk dijual kepada pelanggan di bazar Setia Alam Taipan, Selangor pada 19 Februari 2026.

image is not available
Peniaga Borneo Kepak Madu, Nuraini membakar ayam madu ketika tinjauan Media Selangor di bazar Setia Alam Taipan, Selangor pada 19 Februari 2026.