Warna kulit undang fitnah, Elly Mazlein kongsi rahsia di sebalik sarung kaki putih, bukan sekadar stail: ‘Stoking bola dik, ada jalur hitam’

6 Mar 2026 • 10:53 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

BERHIJRAH ke arah yang lebih baik, Elly Mazlein mempunyai prinsip tersendiri dalam soal berpakaian.

Penyanyi dan pengacara popular itu baru-baru ini berkongsi sebab sebenar di sebalik pemakaian stoking putih yang sering digayakannya ketika muncul di kaca televisyen atau menghasilkan kandungan di media sosial.

Perkara itu didedahkan ketika berbual bersama pendakwah terkenal, Ustaz Mohd Azli Abdullah, yang bertanya mengenai pilihan stoking yang sering menjadi perhatian ramai.

Menurut Elly yang lebih mesra disapa Kak Lina, pemakaian stoking putih itu bukan sekadar untuk bergaya, sebaliknya bagi mengelakkan salah faham.

"Ceritanya begini, saya ingin mengelakkan fitnah. Kerana saya sejenis manusia yang lain daripada lain.

"Jika buat konten, berlari ke sana ke mari sampai nampak betis.

"Stoking skin colour menimbulkan fitnah, penat Kak Lina kena beritahu Kak Lina pakai stoking," kongsinya.

Disebabkan itu, Elly atau nama penuhnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi memilih stoking putih sebagai solusi yang lebih jelas.

Tidak hanya aurat terjaga, malah dia juga terhindar daripada soalan-soalan daripada warganet.

Selain memastikan aurat terjaga, pilihan itu juga membuatkan orang ramai terus faham bahawa dia sebenarnya memakai stoking.

"Semua orang faham, oh dia pakai stoking bola. 

"Stoking bola dik, dekat atas tu ada jalur warna hitam. Itu je nak beritahu," ujarnya dalam nada berseloroh.

Dalam masa sama, Elly turut berkongsi reaksi suaminya, Muhammad Azlan Che Nuh, yang tidak mempersoalkan perubahan tersebut.

"Dia (suami) tak cakap apa-apa. Cuma ciumannya hinggap di dahi ini," ujar Elly.

Biarpun kedengaran mencuit hati ramai, penjelasan Elly tentang pilihan stoking putihnya bukan sekadar fesyen, tetapi langkah kecil bagi mengelakkan fitnah sambil menjaga penampilan dengan lebih baik.

Warganet rata-rata bersetuju dengan menganggapnya sebagai idea yang bijak dan praktikal.

"Kak Lina tu dia memamg selamba saja. Tapi terbaik idea stokin putih tu."

"Alhamdulillah Kak Lina, terbaik."

Sementara itu, Ustaz Mohd Azli pula berkongsi langkah yang diambil oleh Elly itu mampu menjadi contoh baik kepada orang ramai dalam usaha menjaga aurat dan mengelakkan salah faham.

Menurutnya, pendekatan kreatif seperti itu menunjukkan seseorang masih boleh berfesyen, namun dalam masa sama menjaga batas serta sensitiviti masyarakat.

"Ingat stoking bola tadi, rupanya stoking penyelamat fitnah! 

"Jom ambil pengajaran daripada Kak Lina Pom Pom. Aurat terjaga, hati pun tenang," kongsinya.

Sumber: TikTok