Warta rasmi pecat dua Undang, iktiraf pengganti

LocalPolitics
28 Oct 2026 • 4:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Warta rasmi pecat dua Undang, iktiraf pengganti

SEREMBAN – Kemelut adat di Negeri Sembilan memasuki fasa baharu apabila pemecatan dua Undang yang dipertikaikan serta pemasyhuran pengganti bagi jawatan Undang Sungei Ujong dan Rembau diwartakan secara rasmi.

Warta bertarikh 23 Oktober itu ditandatangani Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin.

Dokumen berkenaan mengesahkan pemecatan Datuk Mubarak Thahak sebagai Undang Sungei Ujong berkuat kuasa 13 Mei 2025, manakala Datuk Maarof Mat Rashad dipecat sebagai Undang Jelebu berkuat kuasa 31 Mei 2023.

Turut diwartakan ialah pemecatan Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid sebagai Syahbandar Sungei Ujong, jawatan yang berfungsi sebagai pengimbang kuasa kepada Undang di luak berkenaan.

Warta itu juga mengiktiraf Hasan Ab Hamid sebagai Undang Rembau yang baharu bagi menggantikan Abdul Rahim Yasin, selain Muhammad Faris Johari sebagai pengganti Mubarak di Sungei Ujong.

DKU sebelum ini mendakwa status Abdul Rahim sebagai Undang Rembau tidak pernah dirasmikan mengikut tatacara sepatutnya. Dokumen itu menyatakan pemecatan berkenaan dibuat bagi mematuhi keputusan pemimpin adat di wilayah masing-masing.

Sekiranya diiktiraf sah, perkembangan itu berpotensi melemahkan kedudukan kumpulan Mubarak yang sejak April lalu berusaha menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan menggantikannya dengan sepupu baginda, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar.

Bagaimanapun, pendirian kerajaan negeri berhubung warta berkenaan masih belum jelas.-KOSMO! ONLINE.

The post Warta rasmi pecat dua Undang, iktiraf pengganti appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved