Wartawan Sinar Harian menang Hadiah Kajai

17 Jul 2026 • 9:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Wartawan Sinar Harian menang Hadiah Kajai
Laporan khas 'Nasib budak flat' disediakan oleh wartawan Sinar Harian, Nurul Hidayah Hamid dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai pada Jumaat. Foto: Asril Aswandi Abd Shukor
Image from: Wartawan Sinar Harian menang Hadiah Kajai
Mohd Ridzuan (dua dari kiri) dan Hazelen Liana (dua dari kanan) meraih emas bagi kategori Kewartawanan Multimedia Terbaik.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Laporan khas 'Nasib budak flat' oleh Sinar Harian dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai iaitu kategori utama Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2025 pada Jumaat.

Laporan tersebut disediakan Nurul Hidayah Hamid, sekali gus membolehkan wartawan meja nasional itu membawa pulang wang RM30,000, sijil beserta trofi.

Hadiah kemenangan itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan khas tiga siri berkenaan memfokuskan kepada eksposisi masalah iaitu mendefinisikan dan mendiagnosis realiti kehidupan kanak-kanak yang membesar di kawasan Perumahan Rakyat (PPR) dan flat kos rendah bandar.

Laporan tersebut merakamkan kesusahan selain membuktikan isu yang dihadapi berakar daripada kemiskinan multidimensi yang bersifat sistematik.

Nurul Hidayah berkata, pengalaman menyiapkan laporan tersebut agak mencabar kerana masih baharu di Selangor dan belum mengenali ramai orang. 

"Bagi menyiapkan laporan khas, saya terpaksa berulang kali mengunjungi beberapa flat yang berbeza dalam tempoh beberapa hari bagi mendapatkan bahan dan maklumat.

"Memandangkan saya menyamar sebagai orang awam tanpa memperkenalkan diri sebagai wartawan, kebanyakan penduduk agak sukar didekati, malah ada yang mengelak daripada berbual. 

"Hanya selepas mengunjungi flat ketiga barulah saya berjaya memperoleh maklumat yang diperlukan, sekali gus membolehkan laporan khas tersebut dihasilkan," kongsinya.

**media[3585932]**

Sementara itu, Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Mohd Ridzuan Abu Hassan dan wartawan, Hazelen Liana Kamarudin meraih emas bagi kategori Kewartawanan Multimedia Terbaik menerusi laporan 'Benteng Penyelamat Mengundang Derita', sekali gus membawa pulang wang RM10,000, sijil beserta trofi.

Wartawan meja jenayah Sinar Harian, Muhammad Afham Ramli pula meraih perak bagi kategori Kewartawanan Penyiasatan Terbaik menerusi laporan '10 Tahun Bermaharajalela', membawa pulang wang RM3,000, sijil beserta trofi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved