Waspada maklumat kecerdasan buatan

PoliticsTechnology
5 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Waspada maklumat kecerdasan buatan

SETIAP kali pilihan raya, media sosial menjadi antara medium utama bagi pengundi mendapatkan maklumat berkaitan calon, parti politik dan isu semasa. Video pendek, siaran langsung, infografik serta mesej yang tular kini lebih pantas membentuk persepsi pengundi berbanding ceramah atau laporan berita konvensional.

Perkembangan kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja membolehkan penghasilan kandungan seperti teks, imej, audio dan video secara automatik, malah algoritma pembelajaran mesin yang digunakan oleh platform media sosial turut menganalisis tingkah laku pengguna. 

Analisis ini merangkumi sejarah tontonan, carian, perkongsian serta tempoh masa yang dihabiskan pada sesuatu kandungan. 

Berdasarkan maklumat tersebut, sistem cadangan akan memaparkan kandungan yang dijangka menarik minat pengguna, sekali gus mempengaruhi corak maklumat yang diterima oleh setiap individu.

Dalam suasana pilihan raya, kandungan yang sensasi, kontroversi atau membangkitkan emosi lazimnya menerima kadar interaksi yang tinggi. Algoritma media sosial sering menganggap kandungan sebegini sebagai relevan, lalu menyebarkannya kepada lebih ramai pengguna. 

Teknologi AI generatif mampu menghasilkan imej, video dan rakaman suara yang sukar dibezakan daripada kandungan sebenar, sekali gus meningkatkan risiko penyebaran maklumat yang dimanipulasi atau di luar konteks.

Keadaan ini menyebabkan pengundi tidak lagi boleh menjadikan jumlah tontonan, tanda suka atau perkongsian sebagai ukuran kesahihan sesuatu maklumat. Sebaliknya, setiap kandungan perlu dinilai secara kritis dengan membuat semakan silang melalui sumber rasmi dan media yang berwibawa sebelum dipercayai atau dikongsi.

Dalam era AI, demokrasi yang matang memerlukan pengundi yang bukan sahaja celik politik tetapi juga memahami bagaimana teknologi mempengaruhi maklumat yang dipaparkan kepada mereka. Apabila masyarakat memahami cara algoritma berfungsi, mereka akan lebih bersedia membuat keputusan berdasarkan fakta, bukannya dipengaruhi oleh kandungan yang sekadar tular di media sosial. –UTUSAN

 

DR. MUHAMAD SUFRI MUHAMMAD
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Putra Malaysia (UPM)

The post Waspada maklumat kecerdasan buatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved