
PENAMPANG: Watikah pelantikan bagi kesemua 60 pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dipilih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog akan dikeluarkan sebaik proses pentadbiran selesai, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog Datuk Donald Peter Mojuntin.
Mengulas laporan Daily Express pada 10 Jun mengenai aduan seorang pengerusi JKKK berhubung kelewatan menerima watikah pelantikan rasmi, Donald berkata proses berkenaan sedang dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Beliau berkata pelantikan itu diproses selepas selesainya pemilihan peringkat kampung di seluruh kawasan DUN berkenaan.
Menurutnya, pemilihan tersebut dikendalikan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Moyog dengan bantuan pemimpin masyarakat di bawah sistem Mahkamah Anak Negeri.
Donald berkata beliau sendiri memantau proses itu dari awal hingga akhir bagi memastikan ia dilaksanakan secara telus, adil dan diterima masyarakat.
Beliau berkata Moyog memilih untuk menentukan pengerusi JKKK melalui proses pengundian secara demokratik berbanding pelantikan terus.
Katanya, proses itu memerlukan masa tambahan kerana melibatkan penyelarasan, pengesahan keputusan serta dokumentasi yang lebih menyeluruh.
“Sehubungan itu, terdapat sedikit kelewatan dalam pengeluaran watikah pelantikan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Donald berkata kelewatan itu tidak menjejaskan keupayaan kebanyakan pengerusi JKKK yang dipilih untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
Beliau berkata ramai dalam kalangan mereka telah mengemukakan cadangan pembangunan, melaporkan isu di kampung masing-masing serta bekerjasama rapat dengan pusat khidmat beliau dan pejabat PPM.
Katanya, kebanyakan JKKK yang dipilih juga telah membentuk jawatankuasa masing-masing dan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hal ehwal kampung serta isu pembangunan.
“Rakyat menilai kepimpinan melalui tindakan dan kesediaan untuk berkhidmat, bukan semata-mata melalui sekeping surat,” katanya.
Beliau memberi jaminan watikah pelantikan akan dikeluarkan dan menggesa pengerusi JKKK terus berkhidmat kepada masyarakat sementara menunggu proses itu diselesaikan.






